Sejak zaman berzaman, dalam pelbagai ungkapan, telah diperingatkan bahawa sesiapa yang menabur angin akan menuai badai.
Kalaulah mereka yang hari ini berjalan di koridor kuasa mengambil iktibar daripada kebijaksanaan lama itu, tempoh pentadbiran mereka; yang pun belum sampai ke penghujung, tidak akan terus dihantui dan dipersoalkan dengan rekod silam mereka sendiri.
Daripada segala kelemahan dan kebodohan, sumpahan terbesar pentadbiran hari ini ialah masa lalunya yang sarat dengan janji-janji besar dan retorik melampau. Kini ia kembali menghantui, malah menjadi punca pembohongan mereka mula terungkai satu demi satu.
Namun, sama ada kerana kedangkalan, amnesia terpilih atau mengambil mudah, pentadbiran ini – dari atas hingga ke bawah; memilih untuk menutup mata. Sebaliknya, mereka melenting apabila diingatkan.
Jika dalam beberapa minggu lalu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus diingatkan dengan klip video janji menurunkan harga minyak, kini timbul pula isu penahanan seorang wanita kerana mengkritik atau menurut penyokongnya, mencaci – Perdana Menteri.
Malangnya, para penyokong atau lebih tepat, pengampu lebih sibuk mempertahankan penahanan wanita itu, tetapi gagal melihat isu lebih besar: beliau ditahan di bawah Akta Hasutan 1948.
Ironinya, akta inilah yang suatu ketika dahulu dikecam hebat oleh gerakan reformasi pimpinan Anwar sendiri sebagai undang-undang zalim yang mesti dimansuhkan. Janji itu dikaitkan dengan usaha mengambil alih kerajaan.
Namun, bukan sahaja ia tidak dimansuhkan selepas berkuasa, kini ia digunakan pula untuk membungkam suara kritikal, malah dipertahankan tindakan itu habis-habisan.
Jelas, soal prinsip sudah tidak lagi membekas dalam nurani mereka. Maka dari itu, muncullah sebuah kerajaan yang kehilangan suara hati.
Inilah ironi pentadbiran ini, bukan sahaja dilihat gagal keluar daripada kemelut, malah perlahan-lahan berubah menjadi apa yang pernah mereka kecam.
Janji paling asas pun bukan sahaja gagal ditunaikan, malah dilaksanakan secara bertentangan, tanpa rasa bersalah.
Ambil contoh komitmen Perdana Menteri untuk tidak memegang portfolio lain, khususnya Kewangan. Namun sejak awal, itulah jawatan yang dipegangnya.
Bagaimana rakyat tidak mempersoalkan, sedangkan dahulu beliau dan sekutunya begitu lantang mengatakan gabungan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan adalah mudarat kepada negara?
Kini, ada pula yang bersungguh-sungguh mempertahankannya sebagai pilihan terbaik—kononnya atas pengalaman lalu.
Hakikatnya, seorang Perdana Menteri sudah pun mempunyai kuasa menyelia semua kementerian. Dalam konteks Kementerian Kewangan yang sensitif, penglibatan langsung Perdana Menteri hanya menimbulkan persepsi negatif, lebih-lebih lagi apabila dibandingkan dengan kritikan mereka terhadap pemimpin terdahulu.
Itu satu. Satu lagi ialah isu Tan Sri Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Pelanjutan kontraknya sebanyak tiga kali, sedangkan dahulu beliau didesak untuk didakwa dan dipenjarakan, jelas satu percanggahan besar.
Ia menimbulkan persepsi tidak sihat, ditambah pula dakwaan bahawa beliau digunakan untuk memburu musuh politik, malah mungkin mempunyai pengaruh terhadap pihak berkuasa.
Laporan antarabangsa turut mengulas, dan tidak memihak, menjadikan imej kerajaan semakin terjejas.
Akhirnya, kerajaan hari ini sedang menuai hasil yang tidak diingini.
Jika para penyokong mampu mengetepikan isu kata-kata kasar pengkritik, mereka akan sedar bahawa isu sebenar ialah kredibiliti dan defisit kepercayaan.
Semakin keras mereka menyerang pengkritik, semakin terserlah peranan mereka sebagai tentera siber dan pengampu.
Dan dalam keadaan itu, merujuk kepada kisah The Emperor’s New Clothes “Para pengampu terus mengangkat ‘maharaja’ yang nyata bertelanjang, mendorongnya terus berlagak seolah-olah tiada apa-apa.”
Oleh : Shamsul Akmar, Wartawan Veteran
Artikel ini diterjemahkan secara bebas oleh politiko.my
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.