BN-PH di PRN Melaka: Akmal Kekal Tidak Bertanding

KOTA BHARU | 4 Sep 26 – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan pendiriannya untuk tidak bertanding pada pilihan raya sekiranya Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di Melaka.

Beliau berkata pendirian itu kekal sama seperti sebelum ini, malah akan terus dipertahankan.

“Pendirian saya dulu, kini, insya-Allah selamanya.

“Pendirian saya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia adalah tegas bahawa kita sama sekali tidak ingin bersama dengan Pakatan Harapan,” katanya.

Menurut Akmal, Pemuda UMNO sebelum ini telah menyatakan pendirian supaya parti itu keluar daripada kerajaan menerusi Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia yang diadakan pada awal tahun lalu.

“Bukan sekadar saya tidak nak jadi calon, tetapi pada awal tahun lepas, dalam Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia, kita sudah menyatakan hasrat bahawa kita minta agar UMNO keluar daripada kerajaan ini.

“Itu pendirian tegas pimpinan Pemuda UMNO,” katanya.

Bagaimanapun, Akmal berkata pihaknya menghormati keputusan kepimpinan parti untuk kekal dalam kerajaan sehingga tamat penggal.

Namun, katanya, pendirian peribadinya untuk tidak bertanding sekiranya BN-PH bekerjasama di Melaka tidak berubah.

Dalam perkembangan berkaitan, Akmal turut menyentuh usaha penyatuan antara Pemuda UMNO dan Pemuda PAS yang disifatkannya sebagai satu perkembangan positif.

Beliau berkata perpecahan tidak pernah menguatkan mana-mana pihak, sebaliknya kerjasama akan menjadikan mereka lebih kuat.

“Apabila kita berpecah, perpecahan tidak pernah menguatkan kita. Tetapi apabila kita bersama, kita akan lebih kuat,” katanya.

Akmal berkata usaha penyatuan itu bukan semata-mata berkaitan orang Melayu, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks penyatuan masyarakat secara lebih menyeluruh.

Katanya, sokongan terhadap usaha berkenaan turut diterima daripada parti komponen BN, termasuk MIC.

Beliau berkata usaha penyatuan telah dimulakan di Johor dan Negeri Sembilan, selain akan diperluaskan ke Melaka dan negeri-negeri lain.

“Insya-Allah, kita akan mulakan bukan sahaja di Melaka, tetapi sehingga selama-lamanya,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share