Cadangan Naik Umur Bersara 65 Tahun Bukan Keperluan Rakyat – Srikandi Muda

KUALA LUMPUR, 22 MEI 25 – Srikandi Muda Bersatu Malaysia menyifatkan cadangan menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun sebagai tidak wajar dalam situasi ekonomi semasa yang mencabar, khususnya kepada golongan muda dan wanita muda.

Ketuanya, Nurul Ezzati Azmi, berkata langkah itu tidak mencerminkan keperluan sebenar rakyat yang kini berdepan kos sara hidup tinggi dan kesukaran mendapatkan pekerjaan, terutamanya dalam kalangan graduan muda.

“Ketika ramai belia masih menganggur dan tidak mendapat pekerjaan setimpal dengan kelulusan mereka, kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada penciptaan peluang pekerjaan dan pemulihan struktur ekonomi, bukan mencadangkan dasar yang akan menambah tekanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nurul Ezzati turut memetik laporan Khazanah Research Institute, sambil berkata, data menunjukkan lebih satu pertiga graduan memulakan kerjaya dalam bidang yang tidak berkaitan dengan kelayakan akademik mereka, dan terus kekal dalam keadaan itu untuk tempoh yang lama.

Malahan, keadaan lebih mencabar bagi wanita muda yang bukan sahaja berdepan ketidakpadanan kerja tetapi turut menjadi mangsa diskriminasi ditempat kerja, seperti jurang gaji dan kekangan untuk naik pangkat, terutamanya jika mereka sudah berkahwin atau mempunyai anak.

“Ramai wanita muda akhirnya beralih kepada pekerjaan bergaji rendah atau sektor tidak formal bukan kerana kurang berkelayakan, tetapi kerana sistem sedia ada tidak menyediakan ruang dan peluang adil untuk mereka berkembang,” katanya.

Nurul Ezzati berkata, dalam keadaan sedemikian, cadangan menaikkan umur persaraan wajib hanya akan menyempitkan lagi peluang kerja kepada golongan muda, termasuk wanita muda yang sedang membina kehidupan.

Beliau turut memetik data kadar pengangguran belia pada 2024 yang menunjukkan 10.4% bagi kumpulan umur 15 hingga 24 tahun, dan 6.2% bagi umur 15 hingga 30 tahun sebagai isyarat jelas perlunya dasar yang lebih berkesan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu menumpukan usaha menyelesaikan isu pengangguran graduan, ketidakpadanan kemahiran serta jurang jantina dalam pekerjaan, dan bukan membentangkan cadangan bersifat kosmetik yang tidak menyentuh isu pokok masalah rakyat.

“Srikandi Muda berpendirian bahawa sebarang dasar berkaitan umur persaraan wajib perlu melalui proses libat urus menyeluruh, bukan dibuat atas dasar perbandingan dengan negara luar semata-mata,” katanya.

Beliau menyeru kerajaan agar lebih peka dan bertanggungjawab dalam menggubal dasar dengan memastikan ia benar-benar membawa manfaat kepada rakyat, khususnya generasi muda yang merupakan tulang belakang masa depan negara. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share