Oleh: Armin Baniaz

Pada 2 November 2025, Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru agar ASEAN merangka satu dasar pertahanan dan keselamatan bersama, bukan untuk meniru NATO tetapi untuk menyatukan pendirian ASEAN terhadap kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China.
Cadangan Tun Dr Mahathir menekankan keperluan meningkatkan keupayaan mempertahankan wilayah dan kepentingan maritim, di samping mengurangkan kebergantungan kepada dasar luar negara secara bersendirian yang menjadikan ASEAN kelihatan longgar dan kurang berpengaruh.
Beliau turut menegaskan bahawa dasar bersama ini boleh dibangunkan tanpa menjejaskan kedaulatan negara anggota, melalui perkongsian maklumat, latihan ketenteraan yang diselaras, dan strategi keselamatan serantau yang diperkemas.
Di sini, kritikan bahawa ASEAN tidak akan menyerahkan kedaulatan kerana perbezaan rejim politik seperti yang dikemukakan oleh pakar dari Universiti Islam Antarabangsa Phar Kim Beng tidak berasas.
Cadangan Tun tidak pernah menuntut “penyerahan kedaulatan”, sebaliknya menekankan penyelarasan dasar, bukan penyatuan komando ketenteraan.
Model NORDEFCO membuktikan bahawa negara demokratik dan neutral boleh bekerjasama tanpa sebarang pakatan pertahanan formal. ASEAN sendiri telah memiliki ADMM (ASEAN Defence Ministers’ Meeting) dan ADMM-Plus.ASEAN hanya hanya perlu menaik taraf mekanisme ini kepada unity of policy, bukan unity of command.
Cadangan ini bukan sesuatu yang baharu di peringkat global. Negara-negara Nordik telah membuktikan keberkesanan model sebegini melalui Nordic Defence Cooperation (NORDEFCO), iaitu kerjasama pertahanan antara Norway, Sweden, Finland, Denmark dan Iceland.
Walaupun NORDEFCO tidak membentuk pakatan ketenteraan rasmi dan setiap negara mengekalkan status berkecuali, NORDEFCO berjaya menganjurkan latihan ketenteraan bersama, menyelaras perolehan aset pertahanan, serta berkongsi risikan dan logistik dengan berkesan.
Model Nordik membuktikan bahawa kerjasama pertahanan serantau tidak memerlukan pengorbanan kedaulatan, malah boleh diwujudkan secara fleksibel untuk meningkatkan keupayaan keselamatan kolektif.
ASEAN boleh mengambil iktibar daripada model Nordik ini untuk membangunkan mekanisme yang lebih tersusun, terkoordinasi dan efisien tanpa menjejaskan kepentingan atau autonomi negara anggota.
Selain itu, Dasar Keselamatan dan Pertahanan Bersama Kesatuan Eropah (EU CSDP) turut menunjukkan bahawa negara-negara dengan sejarah konflik dan perbezaan ideologi masih mampu menjalankan kerjasama keselamatan yang efektif.
Melalui pendekatan misi modular, EU melaksanakan pelbagai operasi seperti misi anti-lanun di Somalia dan misi keamanan di Kosovo. Keistimewaan model ini ialah kebebasan setiap negara anggota menentukan tahap penyertaan tanpa sebarang unsur pemaksaan atau komitmen pertahanan kolektif seperti NATO.
Kritikan Phar bahawa “ASEAN tidak boleh disamakan dengan NATO” juga tersasar kerana Tun Dr Mahathir tidak pernah mencadangkan ASEAN meniru NATO. Beliau menekankan kerjasama strategik, penyelarasan pendirian, dan solidariti serantau; bukan Artikel 5 atau perang kolektif.
Justeru, ASEAN lebih sesuai menjadikan EU CSDP dan FPDA sebagai rujukan, bukan NATO sebagai model mutlak.
Pendekatan “sukarela tetapi selaras” ini amat relevan kepada ASEAN, yang juga mengutamakan prinsip kedaulatan dan tidak campur tangan. ASEAN boleh menyesuaikan model EU CSDP dalam bidang strategik seperti pemantauan Laut China Selatan, keselamatan siber, serta bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR).
Pendekatan ini bukan sahaja pragmatik, bahkan selaras dengan dinamika ASEAN yang memerlukan kerjasama secara berperingkat tetapi konsisten.
Hujah penganalisa pertahanan Universiti Malaya Lam Choong Wah bahawa “ASEAN neutral di atas kertas tetapi negara tertentu sudah memihak” sebenarnya menguatkan keperluan dasar serantau yang seragam. Kecenderungan sesetengah negara terhadap kuasa besar adalah bukti bahawa ketiadaan dasar pertahanan bersama membuka ruang kepada tekanan geopolitik.
Dengan adanya dasar serantau yang jelas, negara kecil tidak mudah dipaksa memihak. Melalui perkongsian risikan, latihan bersama dan SOP keselamatan maritim, ASEAN boleh membina kepercayaan dalaman serta mengurangkan jurang ideologi antara negara anggota.
Lam juga berhujah bahawa ASEAN terlalu longgar dan tidak sekuat EU, sedangkan EU sendiri menghadapi cabaran. Namun sejarah membuktikan EU tetap muncul sebagai kuasa ekonomi dan keselamatan yang disegani.
ASEAN pula mempunyai kekuatan tersendiri, rekod penyelesaian konflik tanpa peperangan dan diplomasi konsensus yang stabil.
Cadangan Tun adalah langkah evolusi, bukan revolusi. Ia membina kepercayaan melalui tindakan kecil tetapi konsisten, selaras dengan karakter ASEAN.
Lebih dekat dengan Malaysia, Perjanjian Pertahanan Lima Kuasa (FPDA) turut mengukuhkan justifikasi kepada cadangan Tun Dr Mahathir. FPDA yang merangkumi Malaysia, Singapura, United Kingdom, Australia dan New Zealand.
Walaupun bukan pakatan pertahanan formal, tetapi pakatan ini telah menganjurkan latihan gabungan BERSAMA LIMA selama lebih 50 tahun, menjadikannya salah satu kerangka kerjasama pertahanan paling stabil di rantau ini.
Keberkesanan FPDA terbukti melalui peningkatan kesiapsiagaan pertahanan udara dan maritim, di samping memperkukuh interoperabiliti, perkongsian maklumat dan latihan taktikal.
Semua ini dicapai tanpa menjejaskan kedaulatan negara anggota, sekali gus membuktikan bahawa model kerjasama fleksibel boleh memberikan impak keselamatan yang signifikan.
FPDA menunjukkan bahawa kerjasama pertahanan serantau yang tidak mengikat tetapi tetap berkesan boleh dilaksanakan tanpa memerlukan perjanjian keselamatan kolektif.
Justeru, ASEAN boleh memanfaatkan pengalaman ini dan memperluaskan prinsip-prinsipnya dalam kerangka pertahanan serantau yang lebih menyeluruh, strategik dan berdaya tahan.
Dr Armin Baniaz Pahamin – Presiden Gerakan Ekonomi Malaysia
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.