Dalam dunia yang semakin berpecah dengan pelbagai konflik geopolitik dan krisis identiti, usaha menyatukan umat bukan lagi pilihan, tetapi keperluan.
Penganjuran Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Kali Ke-5 & Himpunan Alam Melayu 2026 dilihat sebagai satu langkah signifikan ke arah menghidupkan semula semangat kesatuan yang pernah menjadi asas kegemilangan rantau ini.
Sejarah telah membuktikan bahawa Alam Melayu pernah mencapai kemuncak tamadun melalui Kesultanan Melayu Melaka yang menjadi sebuah empayar yang bukan sahaja unggul dari sudut perdagangan, tetapi juga menjadi pusat penyebaran Islam dan pertemuan pelbagai bangsa.
Kekuatan Melaka ketika itu tidak terletak semata-mata pada kedudukannya yang strategik, tetapi pada kesatuan masyarakatnya di bawah nilai agama, budaya dan kepimpinan yang tersusun.
Perpaduan: Teras Kekuatan Tamadun
Melaka berkembang menjadi kuasa besar serantau. Sistem pentadbiran berteraskan Islam melalui Hukum Kanun Melaka berjaya mewujudkan kestabilan politik dan sosial. Ini membuktikan bahawa perpaduan yang berpaksikan nilai bersama mampu melahirkan sebuah tamadun yang dihormati.
Namun, sejarah juga memberi peringatan yang jelas. Kejatuhan Melaka bukan sahaja disebabkan ancaman luar, tetapi turut berpunca daripada kelemahan dalaman dan perpecahan. Hakikat ini relevan hingga ke hari ini bahawa tanpa kesatuan, kekuatan sesuatu bangsa akan mudah dimouyakkan pleh musuh-musuhnya!
Penganjuran ijtimak ini membawa semangat yang menghimpunkan pelbagai tokoh, ulama dan masyarakat dari dalam dan luar negara dalam satu platform. Ia menjadi medan untuk memperkukuh kefahaman, merapatkan jurang perbezaan dan membina jaringan ummah yang lebih kukuh.
Jika Melaka dahulu menjadi titik pertemuan pedagang dunia, Terengganu hari ini tampil sebagai simbol pertemuan pemikiran dan kesatuan umat Islam serta masyarakat Alam Melayu.
Perbezaannya, cabaran kini bukan lagi penjajahan fizikal, tetapi ancaman terhadap pemikiran, budaya dan identiti.
Budaya sebagai Asas Jati Diri
Pengisian program yang merangkumi silat, memanah, kesenian dan karnival rakyat memperlihatkan usaha mengangkat semula warisan sebagai elemen penting dalam pembinaan masyarakat. Budaya bukan sekadar hiburan, tetapi medium untuk memperkukuh jati diri dan nilai kebersamaan.
Dalam era globalisasi yang semakin mencabar identiti tempatan, pendekatan ini menjadi semakin penting terutama dalam memastikan generasi muda terus memahami akar sejarah dan budaya mereka.
Belajar dari Sejarah, Membina Masa Depan
Apa yang lebih penting, ijtimak ini membawa satu mesej yang jelas iaitu sejarah bukan sekadar untuk dikenang, tetapi untuk dijadikan panduan.
Kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka lahir daripada perpaduan, manakala kejatuhannya berpunca daripada perpecahan.
Persoalannya kini, adakah masyarakat hari ini bersedia untuk mengambil iktibar?
Jika semangat kesatuan itu dapat dihidupkan semula, tidak mustahil Alam Melayu sekali lagi mampu muncul sebagai kekuatan yang berpengaruh bukan sahaja di rantau ini, tetapi di peringkat global.
Sekian
Muhammad Faizzuddin bin Mohd Zai, Naib Ketua Pemuda PAS Selangor
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.