
KUALA LUMPUR | 24 Julai 26 – Tua Lembaga Waris Di Darat, Dato’ Andulika Mandalika (Sazali Mohamed Yasin), mendakwa Menteri Besar Negeri Sembilan telah melanggar adat Luak Sungai Ujong apabila mengumumkan keputusan berkaitan institusi Undang, yang menurutnya sepatutnya dibuat oleh Datuk Syahbandar selepas melalui proses adat di peringkat luak.
Beliau berkata, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) juga tidak berhak menjemput pihak luar selain ahli-ahlinya sendiri, manakala sebarang urusan berkaitan institusi Undang perlu terlebih dahulu diselesaikan di peringkat Luak Sungai Ujong.
“Datuk Syahbandar adalah orang yang akan mengumumkan apa saja keputusan di Sungai Ujong, bukan Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Di situ dah melanggar hukum adat. Itu sebab kami pertahankan dari segi adat. Apa saja yang dibuat itu satu kesilapan dan kesalahan. Kami tidak bersetuju sebab aturan adat kami dilanggar,” katanya dalam podcast bersama Isham Jalil.
Sazali berkata, orang politik tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam urusan adat kerana segala keputusan berkaitan institusi Luak Sungai Ujong perlu diputuskan oleh Datuk-Datuk Lembaga melalui permuafakatan sebelum diumumkan oleh Datuk Syahbandar.
Beliau turut mendakwa terdapat campur tangan pihak luar dalam urusan Luak Sungai Ujong, sedangkan setiap luak menghormati sempadan bidang kuasa adat masing-masing dan tidak mencampuri urusan luak lain.
“Orang politik sebenarnya tak berhak untuk melanggar adat-adat kami. Kami menjaga adat. Kami yang akan buat keputusan dan ada orang yang akan mengumumkan tentang pemecatan dan sebagainya iaitu Datuk Syahbandar.
“Apabila ada orang luar yang datang pada luak kami, membincang tentang adat luak kami itu satu kesalahan dalam adat Luak Sungai Ujong… ada beberapa individu yang mencampuri luak kami, yang membuat keputusan bagi pihak kami,” katanya.
Beliau turut mendakwa DKU hanya berperanan sebagai urus setia kepada Undang-Undang Luak dan tidak sepatutnya bertindak secara bersendirian tanpa nasihat atau arahan daripada pihak Undang.
Berdasarkan rekod, Krisis perlembagaan di Negeri Sembilan bermula apabila Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Doha (Mubarak Thahak), dipecat berikutan perselisihan adat dan kemelut istana. Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, bersama pihak kerajaan negeri mengesahkan pemecatan tersebut dan menolak sebarang tindakan balas daripada pihak berkenaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.