
KUALA LUMPUR, 31 OKT 25 — Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa negara sanggup mengorbankan kemerdekaan demi memuaskan kehendak Amerika Syarikat (AS) dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (RTA) yang dimeterai baru-baru ini.
Daripada perjanjian itu, perdagangan antara kedua-dua negara bukan lagi bersifat timbal balik, sebaliknya menunjukkan Malaysia tunduk kepada AS.
“Malangnya, dalam perdagangan timbal balik antara Amerika Syarikat dan Malaysia, kita telah korbankan kemerdekaan kita dengan membenarkan negara ini mengenakan kehendaknya ke atas kita.
“Apa yang kita saksikan bukanlah satu perkongsian, jauh sekali timbal balik. Ia penyerahan kebebasan ekonomi yang kita bina dan telah pertahankan dengan susah payah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Malah, Dr Mahathir tidak menyagka beliau akan melihat pemimpin sanggup menyerahkan kemerdekaan negara hanya semata-mata kepentingan sementara dan pengiktirafan kuasa asing.
“Saya tak pernah fikir yang saya akan hidup untuk menyaksi bagaimana pemimpin Malaysia sanggup serah kemerdekaan kita hanya untuk nampak hebat buat beberapa minit dan diusap kepala oleh pemimpin asing.
“Tapi ini yang berlaku dan kini kita terpaksa tunduk pada kehendak Amerika Syarikat dalam hampir semua urusan perdagangan dan ekonomi kita. Ternampak yang kita telah serah kedaulatan kita,” kata Dr Mahathir.
Bekas perdana menteri dua kali itu berkata, pemimpin terdahulu berusaha keras untuk menentukan nasib sendiri dengan menghapus pengaruh asing ke atas negara terutama dalam perdagangan dan ekonomi pada tahun-tahun berikutnya.
Namun Malaysia kini katanya seolah-olah terikat dengan pelbagai syarat yang ditetapkan oleh kuasa besar itu dalam setiap urusan perdagangan.
“Kita setuju beli kapal terbang, gas dan mesin mereka, patuh pada peraturan digital mereka, benar mereka nikmati hasil mineral nadir bumi kita, buka pasaran kita ikut syarat mereka dan patuh pada syarat mereka tentang dengan siapa kita boleh atau tidak boleh berniaga.
“Benar ada exit clause, tapi dari awal lagi terdapat syarat yang jelas menjerut kemerdekaan Malaysia, kenapa mesti kita setuju perjanjian itu?,” katanya. Politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.