
KUALA LUMPUR, 15 Ogos 25 – PAS dilihat mula menunjukkan sikap dan pendirian yang tegas membabitkan calon perdana menteri Perikatan Nasional (PN) apabila tidak menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal untuk jawatan tersebut, kata penganalisis.
Dr Mazlan Ali, penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia melihat, kenyataan Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden sebelum ini yang menamakan lima pemimpin sebagai calon perdana menteri tapi tidak menamakan Muhyiddin menunjukkan PAS mahukan muka baharu yang boleh mewakili gabungan sebagai poster boy.
“Seolah-olah PAS mahu kepimpinan PN dipimpin oleh kepimpinan baharu bukan lagi Muhyiddin. PAS sebenarnya lebih cenderung kepada Bersatu memimpin peringkat pusat jawatan perdana menteri dan poster boy untuk PRU adalah calon dari Bersatu dan oleh kerana demikian saya fikir dalam fikiran PAS itu mesti ada kepimpinan baru, untuk berdepan PRU16.
“Kepimpinan baru ini mestilah kepimpinan yang paling sesuai di bawa ke depan adalah Hamzah Zainuddin, itu adalah calon yang boleh diterima PAS jika diketengahkan,” katanya.
Afnan yang juga Ahli Parlimen Alor Setar itu menamakan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan dua naib presiden iaitu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar serta Datuk Idris Ahmad sebagai calon dari PAS.
Manakala Ketua Pembangkang dan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainuddin satu-satunya calon disebut dari Bersatu untuk jawatan tersebut.
“Beberapa nama yang disebut oleh PAS isyarat supaya wujud peralihan kepimpinan dalam dua tahun lebih sebelum PRU16, PN perlu ada wajah baru supaya poster boy dapat dipromosi lebih awal.
“Jika last minit kemungkinan tidak sempat memberi tarikan kepada rakyat memilih PN,” kata Mazlan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.