
KUALA LUMPUR | 25 Mac 26 – Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin menggesa siasatan menyeluruh dijalankan susulan pendedahan ahli perniagaan Victor Chin berhubung dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen daripada Parti Keadilan Rakyat.
Dalam satu kenyataan, beliau mempersoalkan masa pendedahan tersebut yang dibuat selepas Chin dilaporkan disiasat oleh Polis Diraja Malaysia berkaitan laporan media asing mengenai isu “mafia korporat”.
Menurutnya, dakwaan pembayaran tersebut, jika benar, perlu disiasat secara menyeluruh kerana ia turut melibatkan kemungkinan kesalahan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Beliau turut merujuk laporan media yang menyatakan bahawa Chin menuntut wang berkenaan dipulangkan, dengan menyebut kemungkinan pendedahan identiti individu terlibat sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi.
Sehubungan itu, beliau berpandangan perkara berkenaan wajar diteliti oleh pihak berkuasa bagi menentukan sama ada terdapat unsur ugutan atau kesalahan lain di bawah undang-undang sedia ada, termasuk Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).
Dalam masa sama, beliau mengingatkan agar semua pihak memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara telus dan profesional, serta mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses perundangan.
Beliau turut menggesa pihak berkaitan, termasuk parti politik yang disebut dalam dakwaan, agar memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi memastikan fakta sebenar dapat diperjelaskan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.