
KUALA LUMPUR | 6 Jan 26 — ILHAM Centre hari ini mengeluarkan penafian rasmi berhubung pembentangan yang disampaikan oleh Mujibu Muis pada Konvensyen Khas Pemuda UMNO Malaysia, Sabtu lalu, dengan menegaskan bahawa pandangan yang dikemukakan adalah bersifat peribadi dan tidak mewakili dapatan rasmi institusi berkenaan.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Pengarah Eksekutif ILHAM Centre, Hisommudin Bakar, segala maklumat, interpretasi serta kesimpulan yang dibentangkan dalam program tersebut adalah tanggungjawab penuh pembentang dan tidak boleh dianggap sebagai laporan, kajian atau pendirian rasmi ILHAM Centre.
“Pembentangan berkenaan tidak mewakili dapatan rasmi, pendirian institusi atau analisis berasaskan data ILHAM Centre,” katanya dalam kenyataan semalam.
ILHAM Centre turut menegaskan bahawa sebarang rujukan kepada dapatan atau analisis rasmi institusi itu hanya sah sekiranya dikeluarkan melalui saluran komunikasi rasmi, termasuk laporan penyelidikan, kenyataan media atau pembentangan yang diberi mandat secara rasmi oleh pihak pengurusan.
Walaupun begitu, ILHAM Centre menyatakan ia menghormati kebebasan bersuara serta kepelbagaian pandangan akademik dan analitikal yang disuarakan oleh panel jemputan dalam mana-mana platform wacana ilmiah.
Penafian tersebut dibuat susulan polemik dan perbincangan meluas di media sosial mengenai kandungan pembentangan Mujibu Muis dalam konvensyen berkenaan, yang dikaitkan oleh sesetengah pihak sebagai analisis atau dapatan ILHAM Centre.
Kenyataan itu bertujuan memperjelaskan kedudukan institusi berkenaan serta mengelakkan sebarang kekeliruan awam terhadap peranan dan kredibiliti ILHAM Centre sebagai badan penyelidikan dan analisis politik berasaskan data. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.