
KUALA LUMPUR, 22 Jun 25 – Tokoh Wartawan, Datuk A Kadir Jasin berkata, kenaikan cukai buah-buahan import bukan sahaja akan terkesan kepada golongan kaya tetapi turut memangsakan kumpulan rakyat berpendapatan rendah.
Tambahnya, rakyat kebanyakan menjadikan buah-buahan seperti epal, oren, anggur sebagai diet harian berikutan lebih mudah didapati dengan harga yang lebih murah berbanding buah-buahan tempatan.
“Buah-buahan tempatan tidak banyak jenisnya, bermusim, tidak cukup bekalan dan mahal. Buah-buahan import pun bermusim tetapi kita boleh import dari pelbagai tempat dan negara di dunia sepanjang masa. Jadi bekalannya sentiasa ada,” katanya.
Kadir berkata, dengan mengenakan cukai terhadap buah-buahan import harganya akan meningkat dan menyukarkan rakyat miskin.
“Dengan mencukai buah-buahan dan makan import yang lain, harga akan naik dan rakyat miskin semakin tidak mampu.
“Buah-buahan adalah sumber khasiat yang penting untuk kesihatan,” katanya, dalam satu kenyataan.
Kerajaan juga katanya mengakui rombakan struktur Cukai Barang dan Perkhidmatan (SST) bukanlah mengenai harga barang sebaliknya Menteri Kewangan ll, Datuk Serai Amir Hamzah Azizan, berkata, rombakan SST adalah bagi memperkukuh hasil (revenue) kerajaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican, pula berkata, kutipan SST dijangka bertambah RM5 bilion tahun ini dan RM10 bilion tahun depan hasil peluasan liputannya.
“Ini adalah mengenai kerajaan mengutip lebih banyak hasil daripada orang ramai.
“Ia adalah langkah fiskal dan bukan mengenai harga barang atau inflasi,” katanya.
Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula katanya tidak melihat realiti semasa rakyat di bawah.
“Avocado yang perdana menteri kata makanan maha kaya itu pun lebih murah daripada Musang King. Harga importnya antara RM15 dan RM16 sekilogram.
“Harga durian Musang King boleh cecah RM100. Di beberapa acara seperti Penang FAMA Fest, Musang King dijual antara RM30 hingga RM35 sekilogram. Harga oren hanya antara RM6.60 dan RM13.80 sekilogram,” kata Kadir.
“Boleh jadi bapak-bapak menteri tidak pernah ke pasar atau tidak tahu apa yang rakyat jelata makan. Maka mereka tidak tahu yang banyak jenis buah-buahan import lebih murah daripada buah-buahan tempatan,” tambahnya lagi. @politiko.my