
KUALA LUMPUR, 18 Mei 25 – Budaya politik berasaskan ketakutan yang dikatakan mula meresap dalam Bersatu boleh menjejaskan kelangsungan parti itu, khususnya dalam usaha menarik sokongan generasi muda, menurut penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid.
Menurut beliau, budaya tersebut dipercayai cuba diinstitusikan oleh segelintir pemimpin dalam Bersatu yang masih sarat dengan “DNA Umno”, khususnya mereka yang dibentuk di bawah pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika era kepimpinannya dalam parti Melayu itu.
“Saya percaya budaya ini cuba diinstitusikan oleh kalangan mereka yang terlalu tebal DNA Umnonya dalam Bersatu. Budaya ini dipopularkan dalam Umno pada era Dr Mahathir sebagai presiden.
“Ramai pula pemimpin veteran Bersatu merupakan bekas anak didik Dr Mahathir dalam politik, dan tidak mengenali dunia politik melainkan melalui kacamata Umno acuan Dr Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan kepada politiko.my, hari ini.
Dr Ahmad Fauzi memberi amaran pendekatan politik ‘leader knows all’ tidak lagi relevan dalam lanskap politik semasa yang semakin dikuasai oleh generasi celik teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI).
“Menerapkan ‘culture of fear’ berpotensi membawa Bersatu berundur ke belakang dan menghalang sokongan golongan muda.
“Sedangkan sokongan muda-mudi inilah akan menentukan kelangsungan Bersatu sebagai sebuah parti nasionalis Muslim yang koheren di sudut ideologinya,” tambah beliau.
Beliau turut mengingatkan Bersatu tidak boleh dilihat sebagai klon Umno jika mahu kekal relevan dan membina masa depan politik yang lebih kukuh.
“Bersatu sama sekali tidak boleh memperjudikan nasibnya hingga digelar umno 2.0 oleh musuh-musuhnya dan mereka yang sangsi dengan masa depannya,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Ahmad Fauzi menegaskan Bersatu mempunyai potensi besar untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan umno sebagai parti Melayu-Muslim utama negara, namun perlu terlebih dahulu melakukan anjakan paradigma politik yang jelas.
“Potensinya untuk mengisi ruang yang ditinggalkan Umno sebagai parti Melayu-Muslim terbesar memang ada, tapi ia mesti menerapkan elemen reformis termasuklah perjuangan melawan rasuah hingga mendarah-daging dalam kalangan ahlinya, di samping menghapuskan saki-baki mentaliti feudal dalam kalangan kepimpinannya,” katanya lagi. @politiko.my