
KUALA LUMPUR, 15 MEI 25 – Sempena sambutan Hari Belia Negara 2025, Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap bekas Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyeru agar golongan muda memainkan peranan aktif dalam membangunkan demokrasi yang bersifat pelbagai kaum dan sederhana.
Saifuddin berkata Hari Belia Negara yang disambut setiap 15 Mei adalah masa yang sesuai untuk mengiktiraf peranan belia dalam pembangunan negara.
“Belia mempunyai peranan besar melalui ribuan organisasi sukarela, dari badan uniform, pertubuhan agama, hingga ke peringkat antarabangsa. MBM yang ditubuhkan sejak 1948 telah melahirkan ramai pemimpin yang kini berada dalam kerajaan dan parti politik,” katanya.
Menurut beliau, MBM bukan sekadar badan belia, tetapi juga menjadi tempat latihan kepada pemimpin politik masa depan yang berpegang kepada nilai moderat dan keterangkuman.
“MBM mengamalkan ekosistem politik pelbagai kaum dan moderat. Ia menjadikan MBM sebagai ‘sekolah politik’ terbaik dalam membina demokrasi yang sesuai dengan masyarakat majmuk seperti Malaysia,” tambahnya.
Beliau turut menekankan pentingnya memperkukuh perpaduan antara kaum dan menolak politik perkauman serta ekstremisme dengan konsep wasatiyyah atau kesederhanaan dijadikan prinsip utama dalam politik negara.
Bagi membentuk demokrasi yang lebih matang dan segar, Saifuddin mencadangkan satu kerangka baharu iaitu centripetalism, yang menekankan kerjasama antara semua pihak di tengah (centrist), dan bukan berpecah kepada ekstrem kiri atau kanan.
Beliau mengemukakan tiga insentif utama untuk menjayakan pendekatan ini:
1. Insentif pilihan raya – Ahli politik perlu meraih sokongan daripada semua kaum, bukan hanya kaumnya sendiri, dengan membawa dasar-dasar yang inklusif dan menyeluruh.
2. Insentif perundingan – Platform seperti dialog, town hall dan majlis perundingan perlu diperluas bagi membolehkan semua pihak terlibat dalam membuat keputusan.
3. Insentif parti politik – Parti perlu bersifat terbuka kepada semua kaum, dan menawarkan dasar-dasar yang bersifat rentas kaum dan sederhana. @politiko.my