
KUALA LUMPUR, 9 MEI 25 – Sekumpulan NGO berasaskan Melayu dan Islam menggerakkan kempen penyatuan bangsa dan agama di seluruh negara berikutan kononnya orang Melayu kini hilang jati dirinya.
Program berkenaan adalah anjuran Sekretariat Gabungan NGO Melayu dan Islam yang terdiri daripada lebih 20 NGO utama seperti Ummah, Perkasa, Negarawati, Geng Ustaz, Gerakwanis , Sekretariat Orang Melayu serta beberapa lagi pertubuhan di peringkat negeri.
Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Mohd Zai Mustafa atau mesra dikenali sebagai Cikgu Zai berkata, mesej utama ialah untuk Melayu bersatu- ummah berpadu, orang Melayu Islam mesti bersatu dalam satu penyatuan payung besar orang Melayu dinamakan penyatuan ummah.
“Orang Melayu dan pemimpin Melayu mesti disedarkan bahawa agama, bangsa dan negara sudah terancam dan tidak selamat lagi untuk generasi akan datang.
“Kuasa dan maruah Melayu Islam akan hilang jika sesuatu tidak dilakukan dari sekarang,” katanya.
Katanya, orang Melayu perlu sedar mereka menghadapi musuh yang sama.
Antara objektif program katanya adalah untuk menyatukan orang-orang Melayu dan pemimpin Melayu agar mempertahankan kuasa dan maruah Melayu dari terus hilang dan lenyap.
“Menyedarkan orang Melayu dan pemimpin Melayu Islam agar bersetuju bersatu dan berada dalam satu payung besar orang melayu yang dinamakan sebagai Sekreatariat Orang Melayu (SOM),” katanya.
Mesej berkenaan katanya sangat penting kerana orang Melayu sudah hilang jati diri Melayu dan Islam, hilang maruah agama dan bangsa serta semakin hilang tanah air, kedaulatan, dan akhirnya kuasa politik di negara sendiri.
“Pancang-pancang utama negara sudah dipersoalkan, kuasa Raja-Raja mula didiamkan, Islam dipersendakan, hak istimewa orang Melayu sudah dipersoalkan dan mula diambil, Bahasa Melayu sudah hilang maruah dan ekonomi Melayu telah dirampas secara terangan, ini perlukan kesedaran orang Melayu untuk bangkit bersatu dan pertahankan kuasa dan maruah Melayu secara terang-terangan dengan berhimpun,” katanya.
Program katanya akan digerakkan diseluruh negara dan telah bermula di Pahang pada 3 Mei lepas, manakala 24 Mei depan dijadualkan berlangsung di Wilayah Persekutuan, 1 Jun di Selangor, seterusnya Julai di Melaka dan Negeri Sembilan serta Ogos di Johor. @politiko.my