
KUALA LUMPUR, 14 Ogos 25 — Sayap Armada Bersatu hari ini mengumumkan akan menyertai kempen Pemuda Umno menentang perbuatan menghina Jalur Gemilang di Kepala Batas, Pulau Pinang esok.
Ketuanya, Hilman Idham berkata insiden bendera negara dikibarkan secara terbalik telah berulang kali berlaku dan mereka berkongsi semangat solidariti untuk mempertahankannya.
“Seruan mempertahankan Jalur Gemilang adalah ‘semboyan penyatuan kebangsaan’. Kesatuan dan kebersamaan rakyat mesti digemblengkan demi mempertahankan panji-panji tanah air, maruah dan martabat negara.
“Atas semangat solidariti rakyat merentasi politik kepartian, Armada Bersatu akan bersama Pemuda Umno di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 14 Ogos ini.
“Kami menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan memastikan himpunan ini berlangsung secara aman dan penuh semangat patriotisme yang tulen,” katanya, memetik laporan malaysiakini.
Hilman, yang juga Adun Gombak Setia, menegaskan Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara dan menjadi tanggungjawab semua warganegara untuk mempertahankannya.
Pihaknya turut menyuarakan rasa kecewa terhadap kejadian berulang-kali dan cuai mencemar bendera dan hairan dengan pihak yang menyerang mereka yang mahu mempertahankan Jalur Gemilang.
“Puak ini cuba mengalihkan isu daripada perkara pokok. Mereka menyerang peribadi, berselindung di sebalik perkataan ‘keamanan dan keharmonian’ serta ‘Rukun Negara’.
“Jangan peralat dan dan mencemarkan patriotisme untuk membela sikap dan tindakan yang salah.
“Pihak yang bersalah (atas kesilapan bendera) mesti dikenakan tindakan tanpa kompromi.
“Kesalahan ini mesti dihukum tanpa mengira warna kulit, kaum, agama, dan fahaman politik,” kata Hilman. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.