
KUALA LUMPUR | 10 Apr 26 — Satu laporan oleh laman The Malaysian Corporate yang mendakwa wujud transaksi RM500,000 berkait projek kerajaan kini mencetuskan gesaan supaya siasatan segera dijalankan oleh pihak berkuasa.
Laporan itu mendakwa bayaran berkenaan mempunyai kaitan dengan usaha melobi projek vending machine di bawah Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bernilai kira-kira RM21.1 juta, melibatkan syarikat NexG Bhd (dahulunya dikenali sebagai Datasonic).
Bagaimanapun, setakat ini dakwaan tersebut masih belum disahkan oleh mana-mana pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mengulas isu itu, aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard menegaskan bahawa dakwaan berkenaan tidak boleh dipandang ringan dan perlu disiasat secara menyeluruh.
“Laporan dari laman sesawang itu tuduhan serius yang perlu dijawab dan disiasat. Rakyat tidak boleh mengherokan koruptor atau penjenayah. Pembangkang juga tak boleh mengambil jalan malas dan singkat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau turut menekankan bahawa semua pihak, sama ada kerajaan mahupun pembangkang, perlu bertanggungjawab dalam memastikan integriti dan ketelusan dalam pengurusan projek awam.
Isu ini dilihat berpotensi menjadi perhatian umum memandangkan ia melibatkan projek kerajaan serta dakwaan hubungan antara sektor korporat dan pihak berkepentingan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.