Pemuda PAS Selangor Desak MB Letak Jawatan, Dakwa Gagal Urus Tadbir Negeri

SHAH ALAM | 11 Feb 26 – Pemuda PAS Selangor mendesak Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Sha’ari supaya melepaskan jawatan berikutan dakwaan kegagalan berterusan kerajaan negeri dalam mengurus tadbir Selangor melibatkan isu alam sekitar, perumahan dan kebajikan rakyat.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Sukri Omar berkata, desakan itu dibuat selepas pimpinan kerajaan negeri didakwa gagal menjawab kritikan pembangkang secara matang, selain membuat keputusan terburu-buru tanpa mengambil kira kesan jangka panjang terhadap rakyat.

Menurut beliau, tindakan Amiruddin yang didakwa mengherdik Pesuruhjaya PAS Selangor sebelum ini mencerminkan sikap tidak profesional dan kegagalan kepimpinan dalam mengurus perbezaan pandangan politik.

“Seorang Menteri Besar sepatutnya menjawab persoalan pembangkang dengan berhemah dan matang, bukannya menunjukkan sikap emosi akibat kegagalan mentadbir negeri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Pemuda PAS Selangor turut membangkitkan kebimbangan terhadap cadangan projek pembangunan mega seluas 169 ekar di kawasan antara Hutan Simpan Air Hitam Bandar Kinrara 5 dan Taman Wawasan, Puchong, yang dijangka berlangsung selama 15 tahun.

Katanya, projek tersebut berisiko menjejaskan alam sekitar serta menambah tekanan kepada penduduk setempat yang sudah berdepan kepadatan penduduk dan kesesakan lalu lintas yang serius.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor menggesa kerajaan negeri menghentikan segera sebarang proses pembangunan serta penilaian impak sosial, selain mewartakan semula kawasan berkenaan sebagai Hutan Simpan Negeri Selangor.

Selain isu alam sekitar, Pemuda PAS Selangor turut mempersoalkan kegagalan kerajaan negeri dalam melaksanakan agenda rumah mampu milik, termasuk kegagalan mendedahkan jumlah sebenar permohonan dan projek yang telah berjaya disiapkan setakat ini.

“Isu rumah mampu milik menunjukkan kegagalan dasar yang amat serius kerana ia melibatkan keperluan asas rakyat,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Pemuda PAS Selangor menjunjung kasih terhadap titah Sultan Selangor berhubung larangan penternakan babi di negeri itu serta isu rumah ibadat tidak sah, sambil menegaskan prinsip ‘Raja dan rakyat berpisah tiada’.

Pemuda PAS Selangor turut mengkritik keputusan kerajaan negeri sebelum ini berkaitan cadangan penternakan babi di Bukit Tagar yang didakwa dibuat tanpa kajian menyeluruh serta mengabaikan pandangan agensi teknikal seperti Jabatan Alam Sekitar.

Menurut Sukri, kegagalan menangani isu tebatan banjir, pengurusan sisa pepejal, perumahan dan alam sekitar membuktikan kerajaan negeri Selangor ketika ini tidak kompeten untuk terus mentadbir.

“Oleh itu, Pemuda PAS Selangor menggesa Datuk Seri Amiruddin Sha’ari agar melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor demi kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemuda PAS Selangor memaklumkan satu himpunan jentera pilihan raya akan diadakan pada awal Mac 2026 sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang dengan sasaran merampas pentadbiran negeri Selangor. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share