
KUALA LUMPUR, 18 NOV 25 – Kisah turun naik hubungan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didedahkan Toh Puan Naimah Khalid, dalam podcast Keluar Sekejap, baru-baru ini.
Menurutnya, hubungan kedua-dua tokoh berkenaan melalui pelbagai episod dramatik – bermula daripada kesetiaan luar biasa sehinggalah membawa kepada kekecewaan yang amat mendalam pada penghujung hayat Daim.
Beliau antara lain mendakwa, Daim adalah individu yang mencadangkan nama Anwar diangkat sebagai menteri kewangan untuk menggantikannya.
Tambahnya, ketika Anwar dipenjara atas tuduhan liwat, Presiden PKR itu dikatakan turut meminta bantuan Daim bagi mendapatkan khidmat guaman.
Naimah mendedahkan, oleh kerana hanya peguam dan ahli keluarga dibenarkan melawat banduan, Daim sanggup menghidupkan semula lesen guamannya yang sudah lama tidak digunakan sejak era 1970-an semata-mata untuk bertemu Anwar di penjara.
“Kali terakhir beliau memakai sut guamannya ialah pada tahun 70-an. Tetapi apabila Anwar mahu bertemunya, dia berbuat demikian demi membantu Anwar,” kata Naimah, dalam siaran audio siar Keluar Sekejap bersama Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan.
Hubungan dua pemimpin itu juga dikatakan jernih selepas kejatuhan Barisan Nasional pada 2018, ketika berlakunya kerjasama politik bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.
Malah, Anwar juga katanya kerap bertandang ke kediaman Daim dan pernah menyatakan hasrat mahu melantik Daim sebagai penasihat ekonomi sekiranya beliau menjadi Perdana Menteri.
Namun, katanya, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 dan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, hubungan itu didakwa berubah sepenuhnya.
Naimah mendakwa siasatan demi siasatan terhadap suaminya yang sedang uzur dan berterusan selepas kematiannya pada Januari 2024 dilihat sebagai satu penganiayaan politik.
Daim, yang begitu mempertahankan Anwar dahulu, katanya amat kecewa.
“Ini sahabat saya. Kenapa dia berkata begini tentang saya?” kata Naimah, mengenang kembali ayat Daim. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.