Didominasi PAS, Gabungan Longgar Mahu Jadi Pelengkap PN – Penganalisis

KUALA LUMPUR, 25 Ogos 25 — Gabungan longgar parti-parti politik di luar kerajaann dilihat sebagai pelengkap kepada Perikatan Nasional (PN) dalam usaha menarik sokongan pengundi bukan Melayu.

Prof Dr Ahmad Fauzi berkata, PAS dilihat mendominasi PN cenderung kepada segmen pengundi Melayu, Islam dan sukar diterima kumpulan diluar kelompok tersebut.

“Kegagalan PN di sini adalah di dalam menjadi gabungan berciri Malaysia yang berteraskan masyarakat majmuk.

“Kita boleh melihat ini berdasarkan peranan utama yang dimainkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Bersatu dalam menggerakkan gabungan longgar ini, manakala PN itu di sebalik imej umumnya sebagai pakatan Bersatu-PAS-Gerakan, ia dilihat sebagai dikuasai PAS.

“Selagi perkara ini berlanjutan, mengambil kira PAS dengan imej Melayu-Islam-sentriknya, prospek PN  untuk menawan undi pengundi bukan Islam pada PRU16 akan kekal malap,” katanya, kepada politiko.my.

Fauzi yang juga Profesor Sains Politik dari Universiti Sains Malaysia berkata, gabungan longgar itu dilihat berupaya menjadi jambatan penghubung antara keduanya.

“Oleh itu gabungan longgar ini berperanan sebagai pelengkap kepada PN yang kekal dengan imej Melayu-Muslimnya.

“Manakala gabungan ini menjadi jambatan antara pemimpin-pemimpin pembangkang dengan pengundi bukan Muslim,” katanya.

Tambahnya, gabungan longgar itu juga berupaya menarik perhatian kumpulan pengundi yang tidak berpuas hati dengan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Mahu tidak mahu membentuk sebuah gabungan longgar untuk mewujudkan sebuah platform yang lebih inklusif adalah strategi terbaik supaya undi kaum bukan Melayu yang tidak puas hati dengan kerajaan Madani tidak dibazirkan begitu sahaja dengan tidak keluar mengundi,” katanya.

Malah, PN juga katanya masih berpengaruh di kawasan lingkaran Melayu, khususnya Pantai Timur dan Utara semenanjung.

“Kejayaan PN menembusi kubu-kubu  pihak lawan yang secara tradisinya tidak pernah dimenanginya seperti Parlimen Jasin di Melaka, harus dijadikan sempadan supaya kita tidak menolak terus potensi jangka panjang PN di kawasan selain utara dan pantai timur semenanjung,” tambahnya lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share