
KUALA LUMPUR | 27 Mac 2026 – Sekembalinya Tun Dr. Mahathir Mohamad ke pejabatnya dari cuti panjang, beliau seperti biasa terus berkongsi pandangan yang sarat dengan nada nasihat dan sindiran terbuka terhadap kemelut politik mutakhir ini.
Hari ini, beliau memberi amaran tegas kepada pemimpin Melayu yang terlalu obses mengejar jawatan Perdana Menteri, menyifatkan pendekatan itu sebagai ilusi tanpa asas politik yang kukuh.
Beliau berkata, perpecahan dalam kalangan parti Melayu menjadi punca utama kegagalan untuk menempatkan calon Melayu sebagai pemimpin negara.
“Berpecah kepada banyak parti, tidak ada parti yang akan menang Pilihan Raya Umum. Jika tidak menang PRU, tidak mungkin jadi PM walaupun mendapat sokongan parti yang diketuai,” kata Mahathir.
Beliau menekankan bahawa jawatan ketua parti sahaja tidak menjamin seseorang itu boleh menjadi Perdana Menteri. Menurutnya, hanya dengan penyatuan orang Melayu dan sokongan padu terhadap calon tertentu sahaja peluang untuk menang dan menduduki jawatan tertinggi negara menjadi nyata.
“Letak terlalu ramai calon menentukan semua calon kalah. Oleh itu, apa guna jadi ketua parti dan calon PM,” tambah Mahathir.
Kenyataan ini muncul ketika landskap politik Melayu dilihat semakin berpecah, dengan wujudnya pelbagai parti dan blok yang bersaing untuk mendapatkan sokongan.
Sindiran Mahathir itu juga dilihat menumpu kepada pemimpin yang menganggap jawatan presiden parti sebagai tiket automatik untuk menjadi Perdana Menteri.
“Yang boleh jadi PM ialah jika semua orang Melayu bersatu, dan mereka tentukan calon yang mewakili orang Melayu menang,” tegas beliau.
Kenyataan Mahathir ini boleh dibaca sebagai sindiran halus terhadap pemimpin yang terlalu fokus pada jawatan, termasuk dalam konteks parti Bersatu kini.
Dengan perpecahan dalaman dan persaingan kuasa yang berterusan, pengaruh jawatan presiden parti sendiri kini tidak menjamin seseorang itu akan menjadi Perdana Menteri, sama seperti situasi yang dialami oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam beberapa tahun kebelakangan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.