
KUALA LUMPUR, 16 NOV 25 — Pergolakan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin memuncak susulan tersebarnya beberapa dokumen yang didakwa rancangan untuk menggantung keahlian Datuk Seri Hamzah Zainudin serta menamatkan peranannya sebagai Ketua Pembangkang.
Sebuah portal thecoverage.my melaporkan, dokumen yang dikatakan memo dalaman parti itu turut mencadangkan pelantikan Datuk Dr. Radzi Jidin sebagai pengganti, sekali gus mengambil alih jawatan Timbalan Presiden Bersatu dan mengetuai blok pembangkang di Parlimen.
Memo tersebut antara lain menuduh Hamzah terlibat dalam usaha menggulingkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, termasuk didakwa mengumpul akuan berkanun (SD) serta membina pakatan untuk mengambil alih parti.
Cadangan tindakan dalam dokumen itu termasuk menggantung keahlian Hamzah serta menyusun semula struktur kepimpinan parti bagi menyingkirkan individu yang dianggap tidak setia.
Pendedahan ini muncul ketika parti berhadapan kempen pilihan raya negeri Sabah.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memanggil beberapa Ahli Parlimen parti itu ke kediamannya. Pertemuan itu dikatakan hanya melibatkan ahli parlimen Bersatu.
Spekulasi timbul setelah 16 Ahli Parlimen Bersatu sebelum ini menandatangani satu surat meminta Muhyiddin menyelesaikan polemik dalaman parti dengan segera. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.