DOSM Lapor Peningkatan Harga Barangan Asas Hingga 123%

KUALA LUMPUR, 27 MEI 25 – Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan barangan keperluan asas mengalami peningkatan sehingga 123% dalam tempoh antara 2020 hingga 2024.

Antara yang disenaraikan mengalami peningkatan adalah 20 barangan keperluan harian termasuk beras, buah-buahan, tisu tandas, tuala wanita, serta makanan harian seperti teh tarik dan roti canai.

Air minuman 500ml mengalami peningkatan tertinggi dari RM0.70 pada 2020 meningkat ke RM1.56 pada 2024, iaitu kenaikan 123%, diikuti tisu tandas (10 gulung) dari RM9.78 pada 2020 ke RM20.53 pada 2024, kenaikan hingga  110%, manakala tuala wanita (8 keping) dari RM4.19 ke RM7.07, kenaikan sebanyak 69%.

Dalam pada itu, nasi putih menunjukkan peningkatan sehingga 32%, peningkatan kepada RM1.98 daripada RM1.50 sepinggan.

Pisang emas pula mengalami kenaikan terendah sekitar 30%, daripada RM4.41 sekilogram kepada RM5.74 sekilogram.

Perkara itu dilaporkan akhbar harian tempatan dengan disertakan info grafik, dan diulang siar oleh Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari melalui hantaran di laman Facebook miliknya.

“Setiap angka ini bukan sekadar statistik, tetapi cebisan keresahan rakyat. Rakyat yang makin sempit bernafas, yang makin kerap berlapar. Tetapi apa yang pemimpin buat?,” kata Fadhli.

Beliau sehubungan itu menyindir sikap pemimpin politik yang berebut kuasa sesama sendiri ketika rakyat sedang bergelut dengan peningkatan kos sara hidup yang tinggi.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, rakyat perlu sedar realiti kehidupan yang sukar hari ini tidak diberi perhatian oleh pemimpin yang mementingkan survival politik mereka.

“Sudah tiba masa rakyat bangkit bukan sekadar bersuara, tetapi mengubah haluan. Jika pemimpin hari ini lebih peduli survival politik mereka daripada kelangsungan hidup kita, mengapa kita perlu terus sokong mereka?

“Bangkitlah. Suara kita bukan sekadar keluhan. Ia adalah isyarat perubahan,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan pemimpin yang dimaksudkan dalam hantaran tersebut.

“Mereka sibuk bertelagah dalam parti sendiri. Mereka sibuk berebut jawatan sesama sendiri. Mereka sibuk menyingkirkan satu sama lain, memfitnah, mengatur langkah politik yang tiada penghujung.

“Mereka sibuk menjamin kelangsungan kuasa sendiri, walaupun terpaksa menzalimi rakan seperjuangan sendiri, sedangkan di bawah, rakyat sedang memilih antara beli beras atau bayar bil elektrik. Rakyat sedang berkira-kira sama ada cukup duit belanja anak sekolah minggu depan. Rakyat terpaksa berjimat sampai ke tahap potong makan satu keluarga,” katanya.

Ungkapan beliau dipercayai merujuk kepada pemilihan PKR baru-baru ini yang menyaksikan Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar.

Nurul Izzah merupakan anak kepada Presiden PKR yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini Timbalan Presiden PKR setelah menewaskan penyandang, Rafizi Ramli dalam pemilihan parti baru-baru ini.

“Sampai bila suara rakyat ini hendak didengar? Sampai bila penderitaan rakyat hendak diambil serius?

“Negara ini sedang dibebani bukan sahaja dengan kenaikan harga barang, tetapi juga dengan kepimpinan yang hilang arah dan lupa janji. Pemimpin yang rakus kuasa, tetapi gagal membela nasib rakyat,” tambah Fadhli. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share