Dr MAZA: Hak Beragama Tidak Bermakna Boleh Ambil Tanah Orang

KUALA LUMPUR | 21 Ogos 26 – Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA), menegaskan hak beragama tidak bermakna mana-mana pihak boleh menggunakan atau mengambil tanah tanpa hak yang sah, susulan kontroversi perobohan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar.

Dr MAZA berkata isu berkenaan perlu dilihat dari sudut kedaulatan undang-undang, bukannya dipolitikkan sebagai pertikaian antara agama atau parti politik.

“Kita berada di negara yang ada undang-undang bukan di hutan rimba yang tanah tiada pemilik. Sepatutnya, ahli Parlimen ini mengajar rakyat untuk mengikut undang-undang, bukan membina bangunan sesuka hati tanpa peraturan dan hak milik,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata prinsip sama terpakai kepada rumah ibadat, termasuk apabila pembinaannya melibatkan tanah yang bukan milik pihak berkenaan.

“Rumah persendirian pun tidak boleh kita bina dengan menceroboh tanah orang lain, atau tanah awam. Apatah lagi membina rumah ibadat agama,” katanya.

Kenyataan Dr MAZA itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang mengutuk tindakan kerajaan Perlis merobohkan kuil berkenaan dan mendakwa tindakan itu bertentangan dengan jaminan Perlembagaan terhadap kebebasan beragama.

Rayer dalam kenyataannya pada 20 Ogos menyifatkan tindakan kerajaan Perlis sebagai “rasis dan angkuh” serta mempersoalkan sama ada PAS dan Perikatan Nasional boleh dipercayai untuk melindungi hak masyarakat minoriti.

Mengulas perkara itu, Dr MAZA menegaskan Islam menghormati hak walaupun terdapat perbezaan agama dan pandangan.

“Islam itu harmoni dan menghormati hak, walaupun tidak bersetuju. Namun, Islam juga tidak membenarkan manusia merampas atau mengambil tanah pihak lain tanpa alasan yang sah,” katanya.

Beliau berkata apa yang berlaku di Perlis tidak sepatutnya dikaitkan dengan mana-mana parti politik kerana isu berkenaan, pada pandangannya, adalah berkaitan pelaksanaan peraturan dan kedaulatan undang-undang.

“Apa yang berlaku di Perlis bagi saya tiada kaitan parti politik dan saya bukan pendokong mana-mana parti politik. Apa yang berlaku ialah perlaksanaan peraturan dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Pada masa sama, Dr MAZA mengingatkan supaya isu berkenaan tidak dijadikan bahan untuk membakar sentimen perkauman atau ketegangan agama.

“YB! Jangan bakar sentimen perkauman atau ketegangan agama. Buruk akibatnya nanti bagi negara ini!!” katanya. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Hamzah Bawa Formula Konsensus Baru, Mahu Tamatkan Politik Perpecahan

Dokumen tersebut juga mengangkat agenda lebih besar apabila menyebut keperluan meletakkan Malaysia sebagai kuasa penentu di pentas dunia melalui pembinaan “new axis of power” pasca konflik Iran. Ini memberi isyarat bahawa Konsensus Nasional Baru bukan hanya agenda domestik, tetapi cuba meletakkan Malaysia dalam kerangka geopolitik baharu dunia Islam dan Asia.
Read More
Total
0
Share