Jurang Komunikasi PAS-Bersatu Berpotensi Ganggu Momentum Pembangkang

KUALA LUMPUR, 29 Jul 25 – Usaha pembangkang untuk menghadapi PRU16 dikhuatiri terganggu dengan isu dalaman antara PAS dan Bersatu sekiranya gagal ditangani, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar berkata, walaupun tidak dilihat secara jelas, jurang komunikasi antara dua parti itu menunjukkan terdapatnya ketidaksefahaman yang belum dirungkaikan secara tuntas.

Ketidakhadiran wakil PAS dalam pertemuan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama 12 parti pembangkang sebelum ini juga mencetuskan pelbagai spekulasi kononnya hubungan dua tunjang pembangkang itu renggang.

“Lebih signifikan, isu ini bukan semata-mata soal teknikaliti atau kehadiran fizikal dalam satu pertemuan, tetapi ia mencerminkan kegelisahan strategik dan jurang komunikasi antara PAS dan Bersatu dalam mengemudi blok pembangkang.

“Ketiadaan pemimpin PAS dalam pertemuan bersama Muhyiddin dan gabungan parti pembangkang baru-baru ini membuka ruang kepada pelbagai tafsiran tentang hala tuju dan kesepakatan dalaman blok pembangkang, khususnya dalam konteks PN,” katanya, kepada politiko.my.

Hisomudin beranggapan sekiranya isu itu tidak mampu diselesaikan, gerak kerja pembangkang membina momentum untuk PRU16 boleh terjejas.

“Pada hemat saya, ini bukan krisis berskala besar. Sekiranya perkara ini tidak ditangani dengan baik, ia berpotensi mengganggu momentum penyatuan pembangkang menjelang PRU atau sebarang gerakan massa yang mahu dimobilisasikan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share