
KUALA LUMPUR | 2 Sep 26 – Kerajaan diminta menjelaskan sama ada keputusan menetapkan had penggunaan BUDI95 sebanyak 200 liter sebulan sebelum ini dibuat berdasarkan kesimpulan yang tepat, susulan keputusan menaikkan semula kuota kepada 300 liter.
Ketua Penerangan Parti Wawasan Negara, Datuk Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, persoalan itu timbul kerana kerajaan sebelum ini memaklumkan di Parlimen bahawa kurang satu peratus pengguna menggunakan lebih 200 liter petrol sebulan secara konsisten berdasarkan data BUDI95 bagi tempoh Oktober 2025 hingga Mei 2026.
Menurutnya, jika data berkenaan menjadi asas kepada penetapan had 200 liter, kerajaan perlu menjelaskan mengapa had tersebut kini dinaikkan kepada 300 liter.
“Adakah data berkenaan tidak lagi menggambarkan keadaan sebenar? Adakah kaedah kajian yang digunakan tidak tepat? Atau kerajaan sebenarnya tersilap membuat kesimpulan sejak awal?” katanya dalam kenyataan media.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, sepanjang had 200 liter berkuat kuasa, mereka yang perlu memandu jauh atau menggunakan kenderaan untuk mencari rezeki terpaksa menanggung kos tambahan selepas kuota mereka habis.
Beliau berkata, keputusan menaikkan had kepada 300 liter kini menunjukkan bahawa kuota lebih tinggi mungkin lebih sesuai dengan realiti sebahagian rakyat, termasuk peniaga kecil dan mereka yang bergantung kepada kenderaan dalam pekerjaan harian.
“Kalau begitu, mengapa rakyat perlu menanggung kesusahan terlebih dahulu sebelum kerajaan membuat pembetulan?” soalnya.
Menurutnya, perkembangan itu juga menunjukkan bahawa suara serta tekanan rakyat mempunyai kesan terhadap keputusan dasar kerajaan.
Wan Ahmad Fayhsal turut mengingatkan kerajaan supaya tidak menganggap sokongan rakyat sebagai sesuatu yang boleh diambil mudah, dengan menyifatkan peti undi sebagai mekanisme rakyat untuk menegur dan menuntut perubahan.
Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri Melaka yang akan datang boleh menjadi satu lagi ruang untuk rakyat menyampaikan mesej berhubung dasar dan prestasi kerajaan.
“Pilihan Raya Negeri Melaka nanti bukan sekadar soal memilih wakil rakyat. Ia peluang untuk rakyat menghantar satu lagi mesej yang jelas kepada kerajaan supaya jangan sesekali menganggap sokongan rakyat boleh diambil mudah,” katanya.
Beliau menegaskan, rakyat perlu terus menggunakan hak mengundi bagi menuntut subsidi bersasar yang lebih munasabah, kos sara hidup yang lebih terkawal serta dasar yang benar-benar memahami realiti kehidupan mereka.
“Kekalahan di peti undi kadangkala merupakan muhasabah paling jelas yang boleh diberikan rakyat kepada sebuah kerajaan,” katanya.
Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan mengembalikan kelayakan asas subsidi petrol BUDI95 kepada 300 liter sebulan berkuat kuasa 1 September 2026.
Sebelumnya, pada April lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengumumkan penyelarasan had kelayakan subsidi petrol BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April ini susulan tekanan global akibat konflik Asia Barat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.