
PARLIMEN | 21 Jan 26 – Ketua Portfolio Pendidikan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Saifuddin Abdullah, hari ini menegaskan bahawa pengumuman dua pelan pendidikan berasingan menimbulkan kekeliruan dan memerlukan penjelasan bersama dari menteri berkaitan.
Berucap di Dewan Rakyat, Saifuddin berkata, apabila PN mentadbir Putrajaya, hanya satu pelan pendidikan sepatutnya wujud.
Namun, semalam, Perdana Menteri mengumumkan Rancangan Pendidikan Negara yang kini menampilkan dua dokumen berbeza, satu di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dengan tujuh terasnya dan satu lagi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT/KPKT) dengan sepuluh lonjakan.
“Apakah tidak ada wahdatul fikh, penyatuan pemikiran? Ini yang saya debatkan pada sesi yang lalu,” kata Saifuddin ketika mempersoalkan dua pelan pendidikan yang diumumkan baru-baru ini.
Namun, beliau menyambut baik pengenalan model universiti empat kuadran oleh KPT, yang membolehkan IPTA beroperasi secara tradisional, perubahan marginal, adaptif, atau radikal. Bagaimanapun, beliau terkejut dengan pengumuman KPM tentang perperiksaan Tahun 4 yang menggantikan UPSR.
“Ini kacau bilau. Pelajar dicepatkan dewasanya kerana nak lulus peperiksaan, dan tuition bermula dari sebelum prasekolah. Soal pengurusan ini serius,” kata Saifuddin.
Selain itu, Saifuddin menekankan bahawa isu sukatan pelajaran dan pengajaran bahasa tidak boleh diabaikan sambil merujuk titah Yang di-Pertuan Agong mengenai isu pendidikan dan bahasa.
“Bahasa bukan hanya pengajaran, ia jiwa bangsa. Mata pelajaran sejarah juga harus memfokuskan sejarah tempatan, contohnya Sungai Pahang.”
Beliau menggesa agar dua menteri pendidikan menjawab secara bersama semasa penggulungan di Dewan Rakyat untuk memberi penjelasan menyeluruh mengenai kedua-dua pelan pendidikan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.