Dun Melaka Kecoh Ketua Pembangkang Dakwa KM Banyak Berhibur

KUALA LUMPUR, 30 APR 25 – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka baru-baru ini kecoh selepas Adun Bemban, Dr. Mohd Yadzil Yaakub berucap menyentuh isu melibatkan infrastruktur sekolah yang usang dan mengaitkannya dengan promosi Tahun Melawat Melaka.

Ketua pembangkang Melaka itu mendakwa, isu melibatkan infrastruktur pendidikan uzur tidak mendapat perhatian kerajaan negeri kerana Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf bin Yusoh terlibat dengan banyak aktiviti hiburan untuk Tahun Melawat Melaka 2026.

“Untuk pengetahuan ketua menteri, Sekolah Kebangsaan Jasin bilik guru pun tak layak nak guna, guru besar tumpang kelas lain termasuk juga dengan urusan pentadbiran.

“Di mana perjuangan kerajaan sekarang martabatkan pendidikan Melaka. Di mana usaha martabat pendidikan Islam di Melaka, di sekolah masalah asas pun tak dapat diselesaikan…ketua menteri mungkin sibuk dengan hiburan tahun melawat Melaka,” kata Yadzil.

Susulan itu, Adun Merlimau Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh bangun membidas Yadzil, mengatakan itu adalah sangkaan jahat terhadap ketua menteri.

Susulan itu, kekecohan tercetus apabila Adun Sungai Udang Dr. Mohd. Aleef Yusof menjerit dan menyatakan tidak puas hati terhadap Speaker DUN Datuk Ibrahim Durum yang dakwanya berpihak kepada wakil rakyat kerajaan.

Ibrahim ketika meleraikan kekecohan itu meminta Yadzil tidak mencampur adukkan urusan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri memandangkan isu berkaitan sekolah merupakan urusan kerajaan persekutuan.

Kekecohan itu selesai selepas mereka bertindak keluar meninggalkan dewan persidangan. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share