Empat Ahli Parlimen Rujuk BERSATU Ke ROS, Dakwa Mesyuarat Tidak Sah

KUALA LUMPUR | 13 Julai 26 – Empat Ahli Parlimen BERSATU mengemukakan surat rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi memohon penjelasan dan siasatan berhubung status korum Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, dengan mendakwa badan tertinggi parti itu tidak lagi mempunyai bilangan ahli yang mencukupi untuk membuat sebarang keputusan yang sah.

Surat bertarikh 13 Julai 2026 itu ditandatangani oleh Ahli Parlimen Kangar, Zakri Hassan; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan; Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim; dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya.

Dalam surat tersebut, mereka memaklumkan kepada Ketua Pengarah ROS bahawa BERSATU kini berdepan masalah kekurangan korum susulan pemecatan, penggantungan dan peletakan jawatan lebih separuh daripada ahli MPT.

“Parti BERSATU kini sedang berdepan dengan masalah tidak cukup bilang/korum di kalangan Ahli MPT berpunca daripada pemecatan, penggantungan dan perletakan jawatan oleh lebih separuh daripada Ahli MPT,” menurut surat itu.

Keempat-empat Ahli Parlimen berkenaan berkata, isu itu memberi kesan langsung terhadap kedudukan mereka sebagai wakil rakyat kerana BERSATU merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Perkara ini penting memandangkan kami merupakan Ahli-Ahli Parlimen BERSATU yang mempunyai kepentingan langsung terhadap sebarang keputusan parti yang berpotensi memberi implikasi kepada kedudukan kami di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.”

Kenyataan Radzi buktikan MPT tidak cukup korum

Mereka turut merujuk kenyataan media Naib Presiden BERSATU, Datuk Dr Radzi Jidin pada 11 Julai lalu yang memaklumkan hanya 23 ahli MPT masih tinggal daripada keseluruhan 49 ahli.

Menurut mereka, jumlah itu tidak memenuhi syarat korum yang ditetapkan dalam Perlembagaan parti.

“Jumlah Ahli MPT BERSATU yang masih tinggal adalah 23 orang daripada jumlah asal iaitu 49 orang… keanggotaan yang hanya tinggal 23 orang itu sebenarnya tidak boleh mengadakan mesyuarat kerana tidak cukup bilang/korum.”

Surat itu turut menyatakan bahawa Perkara 13.2 Perlembagaan BERSATU menetapkan jumlah ahli MPT ialah 49 orang, manakala Perkara 13.12 memperuntukkan korum mesyuarat mestilah sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah tersebut, iaitu 25 orang.

“Pada masa yang material, korum yang dikehendaki di bawah Perkara 13.12 ialah 25 orang iaitu sekurang-kurangnya separuh daripada jumlah Ahli MPT yang sah (49 orang).”

Dakwa semua keputusan MPT boleh dipertikai

Empat Ahli Parlimen itu berhujah bahawa kuorum perlu dikira berdasarkan jumlah asal keanggotaan MPT dan bukannya baki ahli yang masih memegang jawatan.

Bagi menyokong hujah tersebut, mereka turut merujuk keputusan Mahkamah Tinggi Karnataka, India dalam kes Doddegowda vs The State of Karnataka Petition No. 5720 of 2024, yang menurut mereka menetapkan korum hendaklah diukur berdasarkan “sanctioned strength” sesebuah lembaga.

Mereka menegaskan bahawa kegagalan mencapai korum menyebabkan sebarang keputusan MPT tidak mempunyai kesahan di sisi undang-undang.

“Kegagalan mencapai ambang ini secara automatik menjadikan sebarang mesyuarat MPT tersebut tidak mempunyai locus standi untuk membuat sebarang keputusan.”

“Sebarang tindakan atau ketetapan yang terhasil daripada mesyuarat yang tidak mencapai korum adalah tidak sah (void ab initio) dan melanggar prinsip tadbir urus pertubuhan.”

Mohon ROS jalankan siasatan

Sehubungan itu, mereka meminta ROS menjalankan siasatan terperinci serta mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat pelanggaran terhadap Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan parti.

“Kami dengan ini memohon pihak YBhg. Dato’ selaku Ketua Pengarah ROS untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai perkara ini dan mengambil tindakan yang sewajarnya.”

Sebagai sokongan kepada permohonan tersebut, mereka turut melampirkan salinan kenyataan media Datuk Dr Radzi Jidin, senarai 49 Ahli MPT BERSATU serta salinan Perlembagaan parti untuk penelitian ROS.

Surat itu diterima oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 13 Julai 2026 berdasarkan cop penerimaan yang tertera pada dokumen berkenaan.

Hingga hari ini, ramai ahli MPT telah meletakkan jawatan dan yang lain bertindak keluar dari parti yang kini menyaksikan BERSATU kehilangan jumlah kuorum untuk menjalankan mesyuarat parti. Sementara itu, Naib Presiden (Digantung), Ronald Kiandee menggesa pimpinan pusat Perikatan Nasional, bermesyuarat untuk menilai kembali kedudukan BERSATU sebagai parti komponen. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share