WAWASAN Bukan Pecahkan Melayu — Parti Dengan Formula Perlembagaan, Kata WAF

KUALA LUMPUR | 20 Jun 26 — Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan penubuhan WAWASAN bukan bertujuan memecahkan sokongan orang Melayu, sebaliknya membawa satu pendekatan politik baharu yang berteraskan Melayu dan Islam dalam kerangka Perlembagaan Malaysia.

Beliau berkata, persoalan mengapa kumpulan yang berdepan tindakan disiplin BERSATU sebelum ini tidak memilih untuk menyertai PAS sebaliknya menubuhkan parti baharu adalah antara persoalan utama yang sering dibangkitkan.

“Ketika kami semua dipecat, enam orang asalnya, kemudian ada yang digantung dan diberi amaran, ramai bertanya, kenapa kami tidak menyertai PAS? Kenapa perlu buat parti baharu?” katanya.

Menurut beliau, kewujudan WAWASAN perlu difahami dengan lebih tepat kerana ia bukan sekadar sebuah parti berasaskan Melayu seperti yang sering difahami oleh sesetengah pihak.

“Sebenarnya ramai orang tidak tahu. WAWASAN bukan parti Melayu semata-mata. Ia adalah sebuah parti Melayu yang berwajah Perlembagaan Malaysia,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal menjelaskan, teras perjuangan parti itu kekal berasaskan Melayu dan Islam, namun dengan pendekatan yang membuka ruang kepada penyertaan strategik pelbagai pihak dalam kepimpinan parti.

“Maknanya ia sebuah parti yang teras tetap Melayu dan Islam, tetapi ada penglibatan strategik kawan-kawan lain (bukan Melayu) dalam kepimpinan parti,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu merupakan satu bentuk formula politik yang cuba menggabungkan identiti Melayu-Islam dengan realiti masyarakat majmuk Malaysia.

Beliau turut menyifatkan perkembangan politik semasa yang melibatkan hubungan antara parti Melayu-Islam perlu dilihat secara lebih mendalam, termasuk keputusan politik yang dibuat oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Yang penting, ijtihad politik yang dibuat oleh Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bagi saya amat-amat wajar kita teliti,” katanya.

Kenyataan Wan Ahmad Fayhsal ini menjelaskan lagi naratif bahawa kemunculan WAWASAN bukan sekadar satu lagi pecahan politik Melayu, tetapi percubaan membawa pendekatan baharu dalam landskap politik negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share