Empat Pertuduhan Muhyiddin: CheguBard Persoal ‘Twist’ Pendakwaan

KUALA LUMPUR | 16 September – Aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau lebih popular dengan nama CheguBard, mempersoalkan keputusan pendakwaan untuk tidak meneruskan empat pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kes Jana Wibawa yang melibatkan RM200 juta.

Dalam hantaran di media sosial, CheguBard menyifatkan perkembangan itu sebagai “satu twist besar dalam perbicaraan Muhyiddin” dan menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memberikan penjelasan mengenai perubahan pendirian pendakwaan.

“Jabatan Peguam Negara Malaysia wajib perjelas satu twist besar dalam perbicaraan Muhyiddin,” katanya.

Pada 15 September, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada satu pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan RM200 juta serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama berkaitan Bukhary Equity Sdn Bhd.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak mahu meneruskan empat pertuduhan berkenaan dan pada awalnya memohon perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).

Menurut laporan Bernama, peguam Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, bagaimanapun memohon supaya anak guamnya dilepas dan dibebaskan sepenuhnya, antara lain dengan berhujah bahawa pendakwaan tidak memberikan alasan kukuh untuk memohon DNAA. Beliau turut membangkitkan bahawa beberapa saksi yang didakwa penting kepada empat pertuduhan tersebut tidak berada dalam senarai saksi pendakwaan.

CheguBard kemudian mempersoalkan mengapa pendakwaan mengubah pendirian selepas perbicaraan berjalan dan mengapa empat pertuduhan tersebut tidak diteruskan.

“Pihak pendakwaan tiba-tiba memutuskan untuk tidak meneruskan satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM200 juta,” katanya.

Beliau turut berkata: “Di sini, wajar kita katakan bahawa Peguam Negara patut menjelaskan kenapa pendakwaan mengubah pendirian.”

Bagaimanapun, AGC pada 15 September menjelaskan bahawa keputusan untuk tidak meneruskan empat pertuduhan itu dibuat berdasarkan penilaian profesional terhadap keterangan, kebolehbuktian kes serta kepentingan keseluruhan pendakwaan.

Menurut AGC, keputusan tersebut tidak bermaksud pertuduhan berkenaan sebelum ini dibuat tanpa asas atau bahawa transaksi yang menjadi subjek siasatan tidak berlaku.

“Penilaian itu menunjukkan bahawa meneruskan pertuduhan-pertuduhan tersebut membawa kepada risiko litigasi yang nyata, termasuk risiko menjejaskan strategi serta pembuktian pertuduhan-pertuduhan lain yang masih dihadapi oleh tertuduh,” menurut AGC.

AGC turut menjelaskan bahawa pendakwaan perlu melihat kepentingan keseluruhan kes dan bukan mempertahankan sesuatu pertuduhan secara berasingan.

Sementara itu, Muhyiddin masih berdepan tiga pertuduhan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, melibatkan dakwaan suapan berjumlah RM25.3 juta untuk Bersatu daripada Nepturis Sdn Bhd, Mamfor Sdn Bhd, KCJ Engineering Sdn Bhd serta Datuk Seri Azman Yusoff.

Perbicaraan bagi tiga pertuduhan berkenaan diteruskan dan pihak pendakwaan telah menutup kes selepas memanggil 29 saksi.

CheguBard dalam pada itu mempersoalkan implikasi keputusan tersebut terhadap keyakinan awam terhadap proses pendakwaan.

“Tanpa penjelasan yang jelas, orang ramai memang akan mula membuat andaian sendiri sama ada keputusan ini dibuat kerana masalah bukti, pertimbangan undang-undang ataupun ada faktor lain,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan itu tidak bermakna keseluruhan kes Jana Wibawa terhadap bekas Perdana Menteri tersebut telah berakhir.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan Muhyiddin daripada empat pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan memaklumkan tidak mahu meneruskan pertuduhan berkenaan. Namun, beliau masih berdepan tiga pertuduhan salah guna kuasa lain yang melibatkan RM25.3 juta dalam kes Jana Wibawa.@politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share