Fadhlina: Jangan Tambah Luka Dengan Spekulasi, KPM Akan Periksa Keselamatan Sekolah Yong Peng

KUALA LUMPUR | 5 Okt 26 – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek meminta semua pihak tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor, kerana ia hanya menambah luka kepada keluarga mangsa dan murid yang sedang melalui proses siasatan.

Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Fadhlina berkata beberapa maklumat yang sedang beredar mengenai kejadian itu adalah tidak benar, termasuk dakwaan mangsa diseret dari surau ke dewan serta dakwaan cermin surau dipecahkan.

“Saya minta semua pihak berhati-hati sebelum berkongsi sesuatu. Kita sedang bercakap tentang seorang anak yang telah meninggal dunia, sebuah keluarga yang sedang berduka dan beberapa orang murid bawah umur yang sedang melalui proses siasatan. Jadi jangan kita menambah luka dengan spekulasi,” katanya.

Menurut Fadhlina, siasatan jenayah adalah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala Kementerian Pendidikan (KPM) tidak boleh menentukan kesalahan seseorang, mendahului pendakwaan atau menjatuhkan hukuman di luar proses undang-undang.

Bagaimanapun, katanya, perkara yang berada dalam bidang kuasa KPM tidak akan ditunggu, termasuk keselamatan sekolah, CCTV, kawalan keselamatan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP), disiplin serta sokongan psikososial.

“Yang berada dalam kawalan kita, kita akan periksa, kita akan baiki dan kalau ada ketidakpatuhan atau kecuaian, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Fadhlina berkata KPM telah menggerakkan pasukan sokongan psikososial bagi membantu keluarga mangsa, rakan-rakan, murid serta warga sekolah yang terkesan akibat kejadian itu.

Beliau berkata pegawai psikologi dan kaunselor akan terus memberikan sokongan mengikut keperluan kerana kesan tragedi seperti itu tidak berakhir apabila perhatian media berakhir.

Dalam masa sama, Fadhlina berkata beliau telah mengarahkan pemeriksaan menyeluruh terhadap aspek pengurusan dan keselamatan di sekolah berkenaan.

Pemeriksaan itu meliputi kawalan keluar masuk, rondaan CCTV, pematuhan SOP keselamatan serta pelaksanaan tugas syarikat kawalan keselamatan pada hari kejadian.

Katanya, syarikat kawalan keselamatan yang dilantik KPM mempunyai skop kerja dan obligasi kontrak yang jelas, termasuk kawalan keluar masuk, rondaan di kawasan ditetapkan serta pematuhan jadual dan tugasan.

“Bagi syarikat kawalan keselamatan sekolah ini, semakan sedang dibuat terhadap rekod rondaan dan pelaksanaan tugas pada hari kejadian,” katanya.

Menurutnya, sekiranya terdapat pelanggaran terhadap skop kontrak, tindakan boleh diambil berdasarkan terma ditetapkan termasuk notis ketidakpatuhan, tindakan kewangan dan penamatan kontrak sekiranya syaratnya dipenuhi.

“Kalau ada pihak yang dibayar untuk menjaga keselamatan sekolah tapi gagal menjalankan tanggungjawab yang telah ditetapkan, kita akan ambil tindakan,” katanya.

Fadhlina turut menegaskan bahawa langkah memperkukuh keselamatan institusi pendidikan sebenarnya telah dimulakan sebelum tragedi di Yong Peng.

Katanya, KPM sebelum ini telah menubuhkan Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan serta mengumumkan 11 langkah tambahan bagi meningkatkan keselamatan institusi pendidikan dan menangani isu disiplin murid.

Bagaimanapun, beliau berkata kewujudan jawatankuasa, SOP dan senarai langkah keselamatan sahaja tidak mencukupi sekiranya pelaksanaannya tidak sampai ke peringkat sekolah.

“Persoalannya, adakah semua langkah-langkah ini benar-benar sampai dan dilaksanakan di sekolah?” katanya.

Menurut Fadhlina, Jawatankuasa Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan telah bersidang sejak Oktober 2025 dengan penglibatan antaranya UNICEF, SUHAKAM, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Persatuan Pengetua Guru Besar Malaysia, persatuan guru besar, Majlis Pengetua, Yayasan Chow Kit dan PDRM.

Fadhlina berkata KPM akan terus memberi tumpuan kepada perkara yang berada dalam bidang kuasanya, manakala siasatan jenayah hendaklah diserahkan kepada PDRM.

Polis sebelum ini mengesahkan kes kematian pelajar berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, manakala seorang remaja lelaki berusia 16 tahun direman enam hari bagi membantu siasatan. Motif dan punca kejadian masih dalam siasatan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share