
PARLIMEN | 20 Jan 26 – Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mengingatkan Dewan Rakyat bahawa ekonomi gelap di Malaysia kini berada pada tahap membimbangkan, khususnya berkaitan isu penyeludupan dan kos “komisyen” kontrak kerajaan.
Dalam sesi Dewan Rakyat pagi ini, beliau merujuk kepada laporan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mencatat 7,097 kes cubaan penyeludupan dan penyelewengan duti serta cukai kastam sepanjang 2025, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM1.88 bilion.
“RM1.88 bilion jumlah yang besar! Itu yang berjaya dikesan. Kalau yang tak berjaya dikesan, mungkin dua kali ganda jumlah itu. Katanya.
Beliau juga menyorot masalah tambahan, iaitu syarikat-syarikat yang dipaksa membayar “komisyen” untuk mendapatkan kontrak kerajaan.
Menurutnya, sejak kebelakangan ini, ramai kontraktor mengadu bahawa kos perniagaan mereka meningkat bukan sahaja akibat ekonomi secara am, tetapi juga kerana bayaran komisyen yang semakin tinggi.
“Saya sebut dalam Dewan tadi bahawa sejak kebelakangan ini, ramai juga kontraktor yang datang jumpa menceritakan pengalaman mereka berurusan dengan orang tengah yang minta komisyen.
“Dalam era Madani ini, nilai komisyen boleh mencecah 8 hingga 10 peratus. Ini menunjukkan ketirisan akibat ekonomi gelap adalah serius,” kata Wan Saiful.
Beliau mengakui kerajaan telah menyatakan bahawa isu ini sedang ditangani, namun menurutnya, tindakan setakat ini belum memadai, kerana bayaran komisyen bukan sahaja tidak dikurangkan, malah meningkat.
Baru-baru ini, Ketua Bahagian BERSATU Port Dickson, Badrol Hisham Shaharin atau CheguBard, dalam satu sidang media telah menggesa SPRM untuk menyiasat dakwaan mengenai skandal spanco yang dikatakan terkait dengan menantu Muhyiddin Yassin. Susulan perkembangan itu, SPRM telah membuka siasatan terhadap isu berkenaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.