
KUALA LUMPUR, 12 NOV 25 — Penulis politik dan bekas wartawan, Shahbudin Husin, berpendapat keputusan kerajaan pusat untuk tidak merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung hak Sabah ke atas 40 peratus hasil persekutuan yang dikutip daripada negeri itu, tidak akan berlaku tanpa tindakan berani Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang meletak jawatan, serta keputusan UPKO keluar daripada Pakatan Harapan (PH).
Menurut Shahbudin, langkah berani itu menjadi “pemangkin utama” yang mendorong kerajaan pusat membuat keputusan segera menghormati keputusan mahkamah dan meneruskan rundingan dengan kerajaan Sabah.
“Bayangkan jika tanpa Ewon letak jawatan dan tanpa UPKO keluar PH, adakah keputusan kerajaan pusat untuk tidak merayu ini akan berlaku?” tulis beliau dalam komentarnya hari ini.
Tindakan Ewon Cetus Tekanan Politik Baharu
Shahbudin mengingatkan bahawa sebelum keputusan itu diumumkan, ramai pemimpin Sabah termasuk Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sudah pun menuntut agar kerajaan pusat tidak mengemukakan rayuan. Namun, katanya, kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak memberikan sebarang respons segera.
Sebaliknya, reaksi pertama Anwar hanya muncul selepas Ewon mengumumkan perletakan jawatan, bagi membantah pendirian Pejabat Peguam Negara (AGC) yang dianggap tidak selaras dengan semangat pembentukan Malaysia dan hak Sabah dalam Perlembagaan.
“Respon Anwar hanya kedengaran setelah Ewon mengumumkan perletakan jawatan. Sebelum itu, kerajaan pusat sepi,” katanya.
Anwar kemudian menjelaskan bahawa Ewon terburu-buru meletakkan jawatan kerana kabinet belum membuat keputusan akhir, namun beliau sendiri secara peribadi lebih cenderung untuk tidak merayu.
UPKO Keluar PH, Tekanan Meningkat
Walaupun Anwar memberi jaminan tersebut, Ewon tetap berpegang pada keputusannya, manakala kepimpinan UPKO pula memutuskan untuk meninggalkan Pakatan Harapan, selaras dengan pendirian parti yang memperjuangkan pelaksanaan penuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak perlembagaan Sabah.
Shahbudin menegaskan bahawa tindakan ini memberi impak politik besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kerana ia menonjolkan UPKO sebagai parti tempatan yang sanggup “membakar diri” demi prinsip perjuangan negeri.
“Keberanian Ewon dan UPKO menjelang PRN Sabah adalah pemangkin utama keputusan kerajaan pusat itu,” tulisnya lagi.
Isu Belum Selesai
Bagaimanapun, Shahbudin menegaskan bahawa isu 40% hasil itu belum boleh dianggap selesai walaupun AGC tidak akan membuat rayuan.
“Ia masih memerlukan pihak yang mentadbir Sabah selepas PRN nanti benar-benar ikhlas dan berani memperjuangkan hak rakyat negeri itu,” katanya.
Katanya, keputusan kerajaan pusat itu hanyalah permulaan kepada rundingan baharu, dan masa depan isu ini bergantung kepada siapa yang membentuk kerajaan negeri selepas PRN pada 29 November ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.