
KUALA LUMPUR, 3 Jul 25 – Bekas menteri pendidikan Dr. Maszlee Malik menggesa kerajaan mengabaikan pengkritik pembinaan Kota Madani di Putrajaya yang menurutnya sengaja enggan memahami alasan disebalik pembinaan tersebut.
Ketua cabang PKR Simpang Renggam berkata, kelompok penentang pembinaan kota bernilai RM4 bilion di Presint 19 itu adalah politikus, penutur tanpa akal, dan lebai-lebai bengap yang tidak perlu dilayan.
“Pedulikan apa yang dikatakan oleh politikus, penutur tanpa akal dan lebai-lebai bengap mengenainya, mereka bukan tidak faham, tetapi enggan faham.
“Pembinaan Kota Madani bukanlah kerana dorongan materialisme dan pemburuan laba seperti mana lazimnya kemunculan mana-mana pembinaan bandar baharu atau binaan monumental di negara-negara dunia yang lain,” katanya, melalui hantaran di Facebook.
Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden, sebelum ini menggesa pembinaan itu ditangguhkan atas alasan hutang negara disifatkan semakin melebar dan ekonomi rakyat kian menghimpit.
Ahli Parlimen Machang dari Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula mendakwa projek itu bukan lambang kemajuan, sebaliknya ia adalah simbol keangkuhan seorang pemimpin yang lupa daratan.
Mempertahankan pembinaan kota itu, Maszlee sebaliknya berkata Kota Madani yang diasaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah kota ilmu yang sarat dengan nilai, konsep, falsafah dan kemanusiaan.
“Ia bukan lambang kemewahan, pembaziran atau kemegahan. Ia adalah lambang ketamadunan di masa mendatang, buat anak cucu kita, agar mereka tidak pinggirkan nilai, ketamadunan dan ilmu dalam keghairahan mengejar pembangunan,” kata Maszlee.
Anwar sebelum ini memberi jaminan kira-kira 10,000 keluarga akan mendapat manfaat dengan pembangunan projek berkenaan dan pembinaannya tidak melibatkan komisen, jauh sekali kebocoran dan ketirisan.
Anwar malah menegaskan, Kota Madani bukan projek peribadi perdana menteri. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.