Gangguan Bagasi KLIA Bukan Insiden Terpencil, Dakwa PN

KUALA LUMPUR | 21 Apr 26 – Perikatan Nasional (PN) menyifatkan gangguan terbaharu sistem pengendalian bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur bukan sebagai insiden terpencil, sebaliknya mencerminkan kelemahan sistemik yang perlu ditangani segera oleh kerajaan.

Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan berkata, insiden yang menyebabkan kelewatan serta kesulitan kepada penumpang, termasuk ada yang terpaksa menunggu beberapa jam untuk mendapatkan bagasi, menimbulkan persoalan serius terhadap tahap kebolehpercayaan dan kesiapsiagaan pengurusan infrastruktur kritikal negara.

“Sebagai pintu masuk utama negara, kegagalan operasi seperti ini menimbulkan persoalan serius mengenai tahap kebolehpercayaan, kesiapsiagaan dan mutu pengurusan infrastruktur kritikal pengangkutan awam negara,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, kejadian itu menambah kepada senarai gangguan berulang melibatkan pengangkutan utama di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kejadian-kejadian tersebut tidak boleh dianggap sebagai masalah teknikal terpencil.

“Kejadian-kejadian ini tidak boleh dianggap insiden teknikal terpencil, sebaliknya perlu dilihat sebagai petunjuk kepada kelemahan sistemik yang lebih mendalam dan memerlukan tindakan segera serta pendekatan menyeluruh,” katanya.

Takiyuddin berkata, PN menggesa Kementerian Pengangkutan memberikan penjelasan yang telus dan menyeluruh berhubung masalah berkenaan, termasuk mendedahkan punca sebenar kegagalan serta menilai keberkesanan penyelenggaraan dan pelan kontingensi sedia ada.

“Orang ramai berhak mendapat jaminan bahawa langkah pembetulan sedang dan akan dilaksanakan secara tegas serta berkesan,” katanya.

Beliau turut menegaskan walaupun Menteri Pengangkutan dilaporkan telah memanggil mesyuarat tergempar susulan insiden tersebut, isu berkenaan tidak boleh dilihat secara terpisah.

“Isu ini perlu ditangani sebagai sebahagian daripada cabaran sistemik melibatkan pelbagai mod pengangkutan yang memerlukan pelan pemulihan serta penambahbaikan yang menyeluruh dan bersepadu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menuntut agar kementerian mengemukakan garis masa yang jelas meliputi tindakan segera, pelan jangka sederhana serta langkah jangka panjang bagi memperkukuh daya tahan sistem pengangkutan negara.

“Langkah-langkah segera bagi memulihkan kebolehpercayaan dan kecekapan perkhidmatan ini hendaklah dijadikan keutamaan nasional,” katanya.

Semalam, Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan gangguan sistem pengendalian bagasi (BHS) di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 April lalu berpunca daripada gangguan bekalan elektrik.

Gangguan tersebut mengakibatkan kegagalan pengawal sistem BHS dan menyebabkan sistem pengendalian bagasi terhenti dan ia melibatkan proses bagasi bagi penerbangan berlepas dan ketibaan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share