
KUALA LUMPUR, 9 NOV 25 – Hari kedua konvensyen nasional Parti Amanah Negara (Amanah) bertukar tegang apabila beberapa perwakilan mendesak supaya usul berkaitan pemilihan parti yang dijadualkan tahun hadapan dibincangkan segera.
Kurang sejam selepas sesi persidangan bermula di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, kira-kira tiga orang perwakilan tampil ke mikrofon menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap keputusan pimpinan yang tidak membenarkan usul tersebut dibincangkan.
Pengerusi persidangan, Azhar Abdul Shukur, beberapa kali memohon agar perwakilan duduk tetapi akhirnya membenarkan dua perwakilan membentangkan cadangan masing-masing tentang pemilihan parti.
Memetik laporan Malaysia Gezette, ketika kejadian, dua pendirian bertentangan muncul di mana seorang perwakilan mencadang supaya pemilihan parti ditangguhkan selepas tahun 2026, manakala seorang lagi berpendapat ia harus diteruskan seperti yang dijadualkan.
Kekecohan semakin menjadi apabila seorang perwakilan dilihat dibawa keluar dari dewan oleh anggota Skuad Arif (pasukan sukarelawan Amanah) selepas berlaku tolak-menolak kecil dengan pihak lain.
Susulan insiden itu, Azhar mengarahkan persidangan untuk diteruskan dengan usul lain yang telah diterima untuk dibahas, termasuk cadangan menaikkan had umur sayap wanita muda Amanah daripada 35 ke 40 tahun. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.