Gerakan Rakam Penghargaan Kepada Tengku Maimun

KUALA LUMPUR, 2 JUL 25 – Ketua Penerangan Gerakan Wendy Subramaniam merakamkan ucapan terima kasih kepada Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat atas keputusan bersejarah dalam prosiding akhirnya sebelum bersara.

Keputusan sebulat suara Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 sebagai tidak berperlembagaan merupakan satu langkah besar ke hadapan dalam memperkukuhkan hak asasi rakyat untuk berhimpun secara aman.

“Tindakan ini jelas menunjukkan komitmen institusi kehakiman negara dalam mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan melindungi kebebasan demokratik rakyat Malaysia.

“Keputusan ini bukan sahaja satu kemenangan untuk rakyat, malah satu tamparan kepada sebarang penyalahgunaan kuasa yang berlaku atas nama pentadbiran oleh si pemerintah,” kata Wendy, dalam satu kenyataan.

Gerakan juga katanya amat menghargai segala jasa dan khidmat cemerlang Tengku Maimun sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

“Keberanian dan integriti beliau wajar dijadikan teladan, dan kami yakin barisan hakim yang sedia ada akan meneruskan semangat keadilan yang sama.

“Gerakan akan terus komited untuk memperjuangkan kebebasan, keadilan dan prinsip demokrasi demi Malaysia yang lebih adil dan sejahtera,” tambahnya.

Tengku Maimun bersara wajib semalam selepas berkhidmat selama enam tahun sebagai ketua hakim negara bermula dari 2 Mei 2019. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share