Jakim Kekal Badan Utama Garis Panduan Halal, Miti Bantu – YB Machang

KUALA LUMPUR, 9 MEI 25 – Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hari ini menjelaskan cadangan agar Kementerian Pelaburan Antarabangsa dan Industri (Miti) turut berperanan dalam persijilan halal adalah untuk meningkatkan daya saing industri halal negara.

Katanya, tiada hasrat untuk menidakkan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam isu itu.

“Jakim terus kekal sebagai badan induk penetapan garis panduan dan hukum syarak berkaitan halal, manakala Miti memainkan peranan dalam pengurusan industri, standardisasi, dan promosi perniagaan halal,” katanya, dalam kenyataan di X.

Langkah itu katanya bagi memisahkan bidang kuasa antara autoriti agama dan ekonomi.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa tidak ada cadangan untuk menggantikan atau mencampuri kuasa Jakim dalam urusan pensijilan halal.

“Sebarang penambahbaikan perlu dilaksana secara inklusif dan berperingkat dengan mengambil kira pandangan ulama, industri serta rakyat sebagai pemegang taruh utama,” katanya.

Peranan Miti katanya hanyalah sebagai rakan pelaksana strategik untuk mengangkat jenama Halal Malaysia ke tahap yang lebih tinggi serta memperkukuh ekosistem halal sebagai satu rantaian nilai yang menyeluruh, daripada ladang ke pasaran global.

“Saya menyeru semua pihak untuk melihat cadangan ini secara rasional dan terbuka demi memajukan industri halal Malaysia tanpa mengorbankan prinsip agama, integriti tatakelola, dan kedaulatan negara,” jelasnya.

Beliau sehubungan itu menempelak DAP yang cuba untuk memainkan isu itu seolah-olah beliau mahu Miti mengambil alih peranan Jakim berhubung isu yang dibangitkan.

Ketika perbahasan, wakil DAP dari Parlimen Bangi bangkit memberi respon dan mendakwa Machang mencadangkang urusan pensijilan halal dikeluarkan dari Jakim adalah tidak wajar.

“Usah termakan fitnah dan auta DAP, PH yang tidak pun peduli dalam pemerkasaan Syariah…ingat pemimpin mereka pernah sebut ‘over my dead body’…hanya sekadar mahu eksploitasi sentimen dangkal melalui pemimpin token bangsa Melayu mereka konon mereka melindungi Islam walhal kita tahu sifat sebenar mereka yang sebenarnya bagaimana,” katanya lagi. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share