Samsuri Tegur Peja, Tegaskan Keputusan PN Mesti Dihormati

KUALA LUMPUR | 26 Jun 26 – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegur tindakan Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau lebih mesra dengan panggilan Peja, yang mengeluarkan kenyataan media berhubung beberapa perkara yang telah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN.

Samsuri berkata, setiap parti komponen termasuk BERSATU mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan dan membantah sesuatu cadangan dalam mesyuarat, namun semua pihak wajib menghormati keputusan yang telah dipersetujui melalui mekanisme rasmi gabungan.

“PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau turut melahirkan rasa kesal apabila perkara dalaman gabungan dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir, sambil menegaskan bahawa PN beroperasi berlandaskan Perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan bersama.

Kenyataan Samsuri dipercayai merujuk kepada kenyataan media Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 23 Jun lalu yang mempertikaikan beberapa keputusan Mesyuarat MT PN, termasuk penerimaan Parti Wawasan Negara sebagai parti komponen baharu gabungan itu.

Beliau berkata, semua parti komponen kini perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada gerak kerja pilihan raya bagi menawarkan kepimpinan yang berintegriti serta membawa harapan baharu kepada rakyat Johor. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share