Saifuddin Kemuka Tiga Tuntutan Kepada Lembaga Disiplin Bersatu

KUALA LUMPUR, 6 Nov 25 – Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah hari ini mendedahkan bahawa beliau telah mengemukakan tiga tuntutan utama kepada Lembaga Disiplin (LD) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), ketika menghadiri sesi perjumpaan di ibu pejabat parti pada petang Khamis.

Menurut Saifuddin, langkah itu dibuat selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada 4 November memutuskan untuk mengadakan perdamaian dalaman. Namun, beliau menegaskan sesi yang dihadirinya pada 6 November tetap perlu memenuhi prinsip keadilan dan ketelusan.

Antara tuntutan yang dikemukakan adalah meminta dua ahli LD iaitu Datuk Mohammed Radzi Manan dan Puan Sasha Lyna Abdul Latif mengundurkan diri daripada mengadili kesnya kerana didakwa mempunyai konflik kepentingan serius.

Kata Saifuddin, Radzi tidak boleh dianggap bebas kerana merupakan bapa mertua Naib Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan ayah kepada Naib Ketua Srikandi Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi, kedua-duanya ahli MPT bersama beliau.

“Hubungan kekeluargaan ini menimbulkan risiko terhadap kebocoran maklumat dalaman dan boleh menjejaskan kewibawaan proses pengadilan,” katanya.

Bagi Sasha Lyna pula, Saifuddin mendakwa beliau bekerja di bawah Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, yang juga antara pemimpin Bersatu Selangor yang pernah mendesak tindakan disiplin terhadapnya.

Saifuddin turut menuntut penjelasan mengenai nama penyiasat dan pendakwa yang terlibat dalam kesnya bagi memastikan ketiga-tiga pihak penyiasat, pendakwa, dan panel keputusan adalah berbeza.

“Adalah amat tidak adil sekiranya pihak yang menyiasat, mendakwa, dan membuat keputusan terdiri daripada individu atau kumpulan yang sama,” katanya.

Tuntutan terakhir Saifuddin ialah supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri hadir memberi keterangan kepada LD kerana dakwaan terhadapnya berpunca daripada tuduhan bahawa beliau telah mencadangkan Presiden meletak jawatan.

“Persoalan-persoalan ini hanya boleh dijawab oleh Tan Sri Presiden sendiri, bukan oleh pengadu atau mana-mana ahli LD,” katanya.

Beliau berpendapat, sekiranya Muhyiddin mengesahkan bahawa cadangan tersebut berlaku dalam konteks perbincangan dalaman dan bukan serangan terhadap Presiden, maka dakwaan terhadapnya tidak wajar diteruskan.

Saifuddin menutup kenyataannya dengan menyatakan kesediaan memberi kerjasama penuh kepada LD sekiranya ketiga-tiga tuntutan tersebut dipenuhi dan satu sesi baru diadakan.

“Saya hadir dengan suci hati demi memastikan proses ini dijalankan secara adil dan telus,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share