Hadi Jelaskan Sebab PAS Bekerjasama Dengan BN

KUALA LUMPUR | 25 Julai 26 – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan kerjasama antara PAS, Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dibuat atas matlamat mempertahankan kepimpinan Melayu Islam di negeri itu.

Menurut beliau, pendekatan tersebut diambil selepas PAS menilai kedudukan politik semasa, termasuk kegagalan usaha mengambil alih pentadbiran Negeri Sembilan sebelum ini walaupun gabungan UMNO dan PN pernah mempunyai sokongan majoriti.

“PAS bersama PN mengadakan kerjasama yang intim secara terbuka dengan BN. Kerjasama ini dilakukan dengan membahagikan kerusi yang tidak berlawanan antara BN dengan PN. Alasannya ialah demi mempertahankan kepimpinan Melayu Islam,” katanya dalam tulisan Minda Presiden PAS bertajuk “Kaum dan Perkauman: Mengapa Melayu Islam Memimpin di Malaysia?” hari ini.

Abdul Hadi berkata, PAS sebelum ini turut mengambil pendekatan sama pada PRN Johor apabila mengurangkan jumlah calon yang ditandingi serta membantu kempen BN di kerusi yang tidak ditandingi PN.

Bagaimanapun, beliau mengakui strategi tersebut tidak berjaya apabila PN akhirnya kehilangan semua kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya berkenaan.

Mengulas politik di Negeri Sembilan, Abdul Hadi mendakwa usaha mengambil alih kerajaan negeri sebelum ini gagal walaupun UMNO dan PN mempunyai sokongan 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), iaitu 14 daripada UMNO dan lima daripada PN.

Menurutnya, keadaan berubah selepas dua ADUN BERSATU menarik balik sokongan sehingga jumlah kerusi tidak lagi mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Beliau berkata, perkembangan itu menyebabkan PAS mengambil langkah memperkukuh PN dengan menerima Parti Wawasan Negara serta meneruskan kerjasama dengan BN yang didominasi UMNO bagi menangani perpecahan politik Melayu.

Dalam tulisan sama, Abdul Hadi turut menegaskan bahawa PAS membezakan konsep kepimpinan Melayu Islam dengan perkauman sempit atau asabiyyah.

Menurut beliau, Islam mengiktiraf kewujudan pelbagai kaum serta mewajibkan keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, namun dalam konteks Malaysia, kepimpinan negara perlu diterajui oleh Melayu Islam berdasarkan prinsip fiqh siyasah yang dihuraikannya.

Beliau turut menggesa rakyat menolak “parti pelampau dan Melayu luar tabii”, sambil menegaskan bahawa Islam dan Melayu tidak boleh dipisahkan dalam konteks sejarah serta pembentukan negara. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share