
KUALA LUMPUR | 7 Ogos 26 – Wartawan veteran, A. Kadir Jasin berpandangan bahawa gabungan membabitkan Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), parti-parti dari Sabah dan Sarawak serta beberapa Ahli Parlimen bebas berpotensi membentuk kerajaan baharu sekiranya berlaku perubahan dalam landskap politik negara.
Menurut beliau, senario tersebut boleh berlaku sekiranya wujud kesepakatan dalam kalangan parti-parti terbabit, terutama jika kedudukan Kerajaan Perpaduan menjadi semakin rapuh.
“Kalau Perikatan Nasional, BN, parti-parti Sarawak dan Sabah serta Ahli Parlimen bebas boleh berpakat, mereka ada kira-kira 150 kerusi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada langkah untuk menggantikan kerajaan sedia ada merupakan tindakan yang wajar memandangkan tempoh pentadbiran Parlimen ke-15 kini hanya berbaki kira-kira setahun lagi.
“Cuma, adakah berbaloi menyingkirkan Anwar pada saat ini dan melantik Perdana Menteri baharu untuk tempoh kira-kira setahun empat bulan sebelum Parlimen dibubarkan?” katanya.
Kadir turut mengaitkan perkembangan itu dengan keputusan DAP untuk mengadakan pengundian bagi menentukan sama ada parti tersebut akan terus kekal bersama Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal pentadbiran semasa.
Menurutnya, keputusan yang akan dibuat dalam Kongres Kebangsaan DAP pada 16 Ogos itu berpotensi menjadi penentu kepada kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Penanda paling jelas dan kuat adalah keputusan DAP membentangkan cadangan bagi menentukan, secara pengundian sulit, sama ada ia patut kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal,” katanya.
Beliau berkata, sekiranya DAP menarik diri daripada kerajaan, Anwar masih berupaya mengekalkan majoriti mudah dengan syarat semua Ahli Parlimen lain terus memberikan sokongan.
Namun, beliau berpendapat majoriti sedemikian tidak mencukupi untuk menjamin kestabilan politik dalam jangka masa panjang.
“Dengan majoriti mudah seperti itu, adalah sukar bagi beliau mewujudkan kerajaan yang stabil. Kerajaan beliau akan jadi ‘lame duck’ atau dalam bahasa Utara, itik matah,” katanya.
Dalam pada itu, Kadir berpendapat Anwar berkemungkinan memilih untuk meneruskan pentadbiran sehingga tamat penggal bagi mencatat sejarah sebagai Perdana Menteri bukan daripada BN yang berjaya menyempurnakan satu penggal penuh.
Beliau turut mendakwa prestasi Pakatan Harapan (PH), khususnya PKR dan Amanah, menunjukkan trend penurunan sokongan berdasarkan beberapa keputusan pilihan raya sejak kebelakangan ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.