Hakim Mahkamah Rayuan Dilantik Ketua Hakim Negara

foto : Berita Harian

KUALA LUMPUR, 18 Jul 25 – Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan hakim Mahkamah Rayuan Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baru.

Jawatan Presiden Mahkamah Rayuan pula akan diisi oleh Abu Bakar Jais, sementara Azizah Nawawi akan menggalas tugas sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak menggantikan hakim yang bakal bersara.

Pelantikan tersebut dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Menurut kenyataan tersebut majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara.

Berasarkan rekod, Wan Farid pernah berkhidmat sebagai timbalan menteri dalam negeri di bawah pentadbiran bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi.

Dia selepas itu dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2015 dan kemudiannya berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Tinggi dari 2019 hingga 2024.

Sebelum menyertai badan kehakiman, Wan Ahmad Farid memegang pelbagai peranan politik, termasuk timbalan menteri dalam negeri dari Mac 2008 hingga April 2009, dan timbalan ketua Umno Kuala Terengganu pada 2001.

Pelantikan ini menutup spekulasi yang hangat sejak beberapa minggu mengenai pelantikan hakim-hakim mahkamah.

Awal minggu ini, lebih 1,000 peguam berarak dari perkarangan Istana Kehakiman menuju ke Pejabat Perdana Menteri untuk menuntut kebebasan institusi kehakiman negara.

Tuntutan termasuk ketelusan pelantikan jawatan kehakiman, pendedahan minit mesyuarat JAC, penubuhan RCI berhubung dakwaan campur tangan kehakiman, dan penyelesaian isu kekosongan jawatan dalam institusi kehakiman. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share