
KUALA LUMPUR, 2 Jan 26 — Datuk Seri Hamzah Zainuddin muncul sebagai tokoh paling menonjol dan konsisten disebut sebagai calon paling layak untuk menggalas jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), menurut pandangan beberapa tokoh akademik dan penganalisis politik terkemuka.
Mantan Naib Canselor UiTM, Datuk Seri Prof Dr Ibrahim Abu Shah berpandangan dua tokoh paling layak memimpin PN ialah Hamzah Zainuddin dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berdasarkan pengalaman kepimpinan serta kemampuan mengemudi gabungan dalam landskap politik mencabar.
“Dua orang paling layak, Hamzah dan Takiyuddin”, katanya kepada politiko.
Pandangan itu turut dikongsi Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin dari UKM yang menegaskan Hamzah merupakan calon paling sesuai menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Hamzah Zainuddin yg paling layak ganti Muhyuddin, malah telah menerima sokongan PAS sebelum ini.” Kata Prof Shamsul.
Sementara itu, penganalisis politik UUM, Prof Madya Dr Malike Brahim menekankan proses pemilihan Pengerusi PN wajar dibuat melalui musyawarah atau syura agar calon yang dipilih sama ada dari PAS atau BERSATU, dapat diterima secara terbuka, rasional dan profesional bagi memacu PN menuju PRU16.
Profesor Kehormat USM, Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid pula menyifatkan Hamzah sebagai pemimpin berimej moderat, berakar kepada gerakan Islam tetapi tidak ekstrem, sekali gus mampu meneutralkan persepsi negatif terhadap PAS dalam kalangan pengundi bukan Islam. faktor kritikal buat PN yang memerlukan sokongan rentas kaum.
“Imej sedemikian amat perlu untuk meneutralkan imej PAS yang masih banyak disalah sangka oleh sebahagian masyarakat bukan Islam sebagai bernada tidak toleran dalam beberapa hal dan keadaan, dalam masa di mana PN amat memerlukan sokongan non-Muslim. Ujar Ahmad Fauzi.
Menurut beliau, pengalaman Hamzah sebagai Ketua Pembangkang Parlimen serta sejarah pertembungan politik panjang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan beliau aset strategik PN dalam pertarungan nasional akan datang.
Pandangan yang sama turut dikongsikan oleh Prod Madya Dr Mazlan Ali.
“Kalau kita tengok senioriti dalam kepimpinan Bersatu dan juga PAS. Dalam Bersatu, selepas Tan Sri Muhyiddin, yang paling layak adalah Hamzah Zainuddin. Saya nampak di segi senioriti dialah. Katanya.
Bagaimanapun, beliau juga tidak menolak bahawa Tan Sri Abdul Hadi Awang juga adalah tokoh paling layak dari segi pengalaman dan kewibawaan, namun jika Presiden PAS itu menolak, calon alternatif yang dilihat berpotensi ialah Datuk Seri Takiyuddin Hassan atau Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang disifatkan membawa imej baharu dan mesej lebih segar untuk PN.
Mesyuarat Majlis Tertinggi PN dipercayai akan berlaku pada bulan ini untuk memutuskan pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan berkuatkuasa, semalam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.