
KUALA LUMPUR, 28 Okt 25 – Ahli Parlimen Hassan Abdul Karim (PKR-PH-Pasir Gudang) menyuarakan kritikan serius terhadap kerajaan apabila pihaknya menandatangani perjanjian jual beli gas asli cecair (LNG) dengan Amerika Syarikat semasa lawatan rasmi Presiden Donald Trump ke negara kita baru-baru ini.
Hassan mendakwa langkah itu seolah-olah “penggadaian” kekayaan negara kepada AS, dan menyifatkan ia sebagai tindakan yang memperlekehkan perjuangan mempertahankan kedaulatan selama ini.
“Bagaimana ini, Yang Amat Berhormat Tambun (Anwar Ibrahim)? Beratus tahun kita perjuangkan merdeka dari kuasa asing, namun kini kita sambut Trump dan kita serahkan kekayaan kita,” kata beliau dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat.
Beliau turut mempersoalkan syarat yang dikemukakan oleh AS dalam rundingan tersebut — antaranya akses kepada nadir bumi dan pengaruh yang wujud dalam perjanjian antara kedua-negara.
“Mana boleh dia (AS) mengenakan syarat sedemikian. Yang perunding-perunding ini menteri MITI, apa yang mereka rundingkan. Ini penggadaian negara kita, ini memalukan.”
Sambil menegaskan beliau tidak pasti tentang nasib beliau susulan kritikannya terhadap kerajaan, Hassan menegaskan bahawa beliau tidak akan berdiam diri apabila soal kepentingan negara didakwa dipertaruhkan.
“Satu trilion ringgit (perjanjian LNG) sedangkan setiap tahun kita berhempas pulas… nanti kita bagi kepada Amerika.”
Kerajaan Malaysia dan AS sebelum ini dilapor telah menandatangani satu perjanjian perdagangan timbal balik yang menyeluruh, dengan fokus memperkukuh hubungan ekonomi dua hala dan memperluas akses pasaran eksport antara kedua-negara.
Hassan menggesa pihak berkaitan agar memberikan penjelasan segera di Dewan Rakyat mengenai proses, syarat, dan impak perjanjian LNG tersebut terhadap ekonomi serta kedaulatan negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.