Hamzah Merendah Diri, Sifatkan Kemenangan Calon Wawasan, Bersejarah Untuk Rakyat

SEREMBAN | 2 Ogos 26 – Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan kemenangan tiga daripada empat calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai detik paling bersejarah sejak penubuhan parti berkenaan lebih dua bulan lalu.

Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan perjuangan Wawasan Negara diterima rakyat kerana berpaksikan kepentingan rakyat, bukannya kepentingan pemimpin politik.

“Hari ini adalah hari yang paling bersejarah Parti Wawasan Negara kerana tiga daripada empat orang calon kami telah berjaya memenangi kerusi-kerusi mereka dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan ini. Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana kemenangan ini adalah sesuatu yang paling kami gembira kerana baru sahaja parti ini ditubuhkan melebihi dua bulan yang lepas,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan rasmi PRN Negeri Sembilan, malam tadi.

Hamzah berkata, apa yang dilakukan Wawasan Negara sejak penubuhannya adalah demi memastikan masa depan rakyat dan negara terus terpelihara.

“Apa yang kami lakukan ini adalah sesuatu yang, seperti yang saya pernah katakan, demi untuk masa depan rakyat. Bukan untuk kami pemimpin-pemimpin parti. Tetapi apa yang telah pun kami lakukan itu adalah semata-mata untuk kepentingan seluruh rakyat di Negeri Sembilan dan insya-Allah seluruh negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau, serta kepimpinan Perikatan Nasional (PN) yang memberi kepercayaan kepada Wawasan Negara menyertai gabungan itu dan bertanding menggunakan lambang PN.

“Saya berterima kasih kepada rakan saya Datuk Dominic sebagai Presiden Gerakan yang telah bersama-sama menyokong kami untuk menjadi anggota Perikatan Nasional. Apabila menjadi anggota Perikatan Nasional, ia memberikan peluang untuk kami meletakkan calon-calon melalui parti Perikatan Nasional.

“Jadi kejayaan Wawasan Negara ini harus kami berikan juga kepada Perikatan Nasional kerana telah dengan penuh yakin meletakkan kami sebagai anggota dan akhirnya dapat menentukan calon-calon kami menang dalam Perikatan Nasional,” katanya.

Menurut Hamzah, kejayaan calon muda parti, Dani, membuktikan rakyat bersedia memberi peluang kepada wajah baharu dalam politik.

“Dani adalah merupakan calon muda dan dia dapat mengalahkan Parti Bersatu sehingga hilang deposit,” katanya.

Beliau turut memuji kemenangan Ridwan di DUN Gemas yang disifatkannya sebagai kemenangan besar selepas berdepan pelbagai cabaran sepanjang kempen.

“Ridwan bukan hanya menang besar, tetapi dapat merakamkan sesuatu yang saya bangga kerana bukan mudah untuk memasuki gelanggang. Pada mulanya agak susah kerana ada macam-macam yang terpaksa kita perbetulkan. Alhamdulillah kita perbetulkan segala masalah yang awalnya sehingga ada orang kata macam-macam. Tapi kemenangan ini satu kemenangan yang besar. Majoriti melebihi 10,000. Itu menunjukkan satu kemenangan yang besar,” katanya.

Hamzah turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Razali yang juga bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM), sambil menyifatkan kemenangan beliau membuktikan Wawasan Negara menjadi platform kepada golongan profesional, bekas penjawat awam serta generasi muda untuk terus berbakti kepada negara.

“Datuk Razali, bekas polis yang baru sahaja pencen dua tahun lepas. Ini juga memberikan keyakinan kepada rakan-rakan kita, bekas pegawai kerajaan, bahawa Parti Wawasan Negara memberi ruang kepada orang muda, wakil-wakil rakyat yang pernah berjuang daripada dulu, begitu juga mereka yang dahulunya merupakan bekas pegawai kerajaan untuk bersama dengan kami,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti, selain mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dalam PN dan Barisan Nasional (BN) yang menurutnya memainkan peranan besar dalam membentuk kemenangan gabungan itu di Negeri Sembilan.

“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua, terutamanya jentera yang telah bertungkus-lumus untuk memastikan kita dapat mencapai kemenangan yang sebegini rupa. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kami, terutama PN, dan sudah tentulah Barisan Nasional yang sebenarnya bukan hanya menerima hakikat bahawa gelombang kali ini adalah satu gelombang biru yang begitu besar, tetapi hakikat bahawa kami juga merupakan saudara kepada mereka,” katanya.

Hamzah berkata, model kerjasama BN-PN yang berjaya diterjemahkan pada PRN Negeri Sembilan boleh dijadikan contoh untuk diperluaskan ke negeri lain menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

“Insya-Allah kalau ini dapat kita tunjukkan dengan begitu baik sekali, model seperti ini boleh kita lakukan di Melaka. Kalau gelombang ini dapat kita bawa, insya-Allah apa yang diharap-harapkan oleh rakyat itu boleh kita capai untuk menentukan masa depan kita yang lebih baik iaitu untuk kita membangunkan negara ini dengan pimpinan-pimpinan yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share