Hamzah: Sabah Maju Jaya Gagal — Kroni Diutamakan, Dinasti Politik Tentukan Kuasa

SANDAKAN, 25 NOV 25– Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, melancarkan kritikan keras terhadap kepimpinan kerajaan negeri dengan menuduh pentadbiran sedia ada mengutamakan kroni dan mengabsahkan politik dinasti, sekali gus mengenepikan keperluan rakyat.

Berucap di DUN N.51 Sungai Manila bersama calon PN, Yusri Abu, Hamzah berkata slogan Sabah Maju Jaya sekadar retorik tanpa hasil kerana kemajuan yang dijanjikan tidak dirasai rakyat.

“Lima tahun diberi. Mana majunya? Mana jayanya? Air terputus, karan mati, jalan berlubang. Yang ‘maju’ hanyalah kroni-kroni mereka,” katanya, menegaskan bahawa rakyat terus bergelut dengan masalah asas.

Hamzah menuduh bahawa kejayaan sebenar hanya berpihak kepada kelompok terdekat pemimpin tertentu.

“Ndak ada maju, ndak ada jaya… yang berjaya ialah kroni,” katanya, dengan menyifatkan keadaan itu sebagai pengkhianatan terhadap amanah rakyat.

Selain mengangkat isu kronisme, Hamzah turut memberi amaran bahawa politik dinasti semakin menguasai landskap politik Sabah, yang menurut beliau mengekang pembaharuan dan menafikan suara rakyat.

“Rakyat Sabah perlu bangkit menolak politik dinasti. Masa depan negeri ini tidak boleh ditentukan oleh keluarga tertentu. Masa depan Sabah ditentukan oleh rakyat Sabah sendiri,” tegasnya.

Beliau menegaskan hanya perubahan kepimpinan mampu menghentikan budaya kroni dan pengaruh dinasti yang menjarakkan rakyat daripada dasar pembangunan sebenar.

Hamzah turut mempromosikan tawaran PN melalui Manifesto Kasi Bagus Sabah, yang menggariskan 12 Tunjang Utama dan 159 pelan tindakan sebagai pelan pentadbiran alternatif yang lebih inklusif dan berfokus kepada kebajikan rakyat.

“Perikatan Nasional akan lakukan yang terbaik untuk rakyat. Kita mahu acuan baharu untuk Sabah — acuan yang ditentukan rakyat, bukan kroni, bukan dinasti,” katanya.

Kempen di DUN Sungai Manila kini berdepan persaingan sengit menjelang minggu terakhir PRN Sabah, dengan PN menjadikan isu kronisme dan politik dinasti sebagai teras serangan politik mereka. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share