PN Persoal Tatakelola Lantikan, Ketua Audit Perlu Bebas Dari Penjawat Awam 

KUALA LUMPUR, 24 Jul 25 – Pembangkang mempersoalkan tatacara pelantikan ketua audit negara bukan bermakna menolak pelantikan Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Ketua pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Perlembagaan memperuntukkan ketua audit negara perlu bebas daripada sebarang jawatan dalam perjawatan awam.

“Ikut Perkara 7 dan Perkara 105(4)(5) Perlembagaan Persekutuan sepatutnya ketua audit negara jangan dilantik, saya tak guna tidak boleh dilantik, jangan dilantik dalam perjawatan awam yang masih berkhidmat, dalam perkara Perlembagaan itu ada.

“Sebab itu kami persoal, bukan kami tak mahu (Wan Suraya) sebab bila perdana menteri cerita tatakelola akhirnya jadi kelaut,” kata Hamzah, dalam sidang media di Parlimen, hari ini.

Wan Suraya katanya perlu melepaskan salah satu jawatannya, sama ada perjawatan awam atau ketua audit negara kerana langkah itu katanya bagi menjamin tidak berlaku berat sebelah dalam proses penilaian jabatan audit.

“Kita ingatkan masa dia dilantik tatakelola dilaungkan perkara sama. Pelantikan dia tak apa…tapi biar ikut cara supaya tidak dibangkitkan rakyat ada ‘bias’.

“Rupa-rupanya dia masih penjawat awam. Dia ada bos dia di atas. Patutnya dia berhenti. Sudah berhenti dia bebas. Ini kita persoalkan. Banyak kita bangkitkan di Parlimen tentang tatakelola,” kata Ahli Parlimen Larut itu.

Sementara itu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam sidang media sama turut menegaskan, jawatan ketua audit negara merupakan lantikan di bawah Perlembagaan seperti mana jawatan ketua hakim negara dan penyandang perlu bebas dari sebarang pengaruh eksekutif.

“Ketua audit negara satu jawatan Perlembagaan maksudnya ada dalam Perlembagaan kita. Perkara kami rujuk Perkara 105 Perlembagaan. Jelas. Pelantikan ketua audit sebagaimana ketua hakim negara dilantik Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri selepas perundingan dengan Majlis Raja-raja.

“Tapi orang yang dilantik untuk ketua audit negara dan amalan selama ini dilantik bukan kalangan pegawai sedang berkhidmat dalam jawatan Persekutuan dan negeri. Tidak pernah ada,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.

Setiausaha Agung PAS itu menegaskan, Wan Suraya juga masih mempunyai lebih kurang lima tahun baki tempoh perjawatan dalam perkhidmatan awam.

“Dia ada ketua pengarah perkhidmatan awam, ketua setiausaha negara sebagai pegawai atasan paling tinggi. Bagaimana seorang ketua audit negara mesti bersikap bebas dari eksekutif. Macam mana nak berfungsi secara bebas kendali audit akaun kerajaan.

“Kami masih menegaskan seorang ketua audit negara tak boleh dari kalangan pegawai yang berkhidmat, sama ada letak jawatan PTD atau jawatan ketua audit negara. Kalau tidak dia tak boleh bebas,” tegasnya lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share