Hamzah Tidak Umum Nama Rasmi, ‘PBN’ Sekadar Cadangan Mudahkan Sebutan – Saifuddin

KUALA LUMPUR | 26 Julai 26 – Setiausaha Agong Wawasan Negara, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menjelaskan bahawa kenyataan Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai penggunaan istilah “Perikatan Barisan Nasional” atau singkatannya “PBN” bukanlah pengumuman nama rasmi gabungan politik baharu.

Menurut beliau, dalam salah satu ceramah bagi membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Hamzah hanya mencadangkan penggunaan satu nama yang menggabungkan kedua-dua gabungan itu bagi memudahkan sebutan.

“DSHZ mengatakan, oleh kerana ada yang tersasul menyebut PN-BN atau BN-PN, mungkin elok digunakan satu nama yang menggabungkan kedua-duanya. Beliau tidak kata ini nama rasmi. Sekadar memudahkan,” kata Saifuddin kepada Politiko.

Beliau berkata, Hamzah mencadangkan singkatan PBN dengan mengambil kira BN merupakan gabungan yang lebih lama ditubuhkan.

“Beliau sebut PBN. Mengapa begitu? Oleh kerana BN senior, maka eloklah nama BN yang penuh, manakala nama PN separuh. Tetapi DSH juga kata, kalau hendak guna BPN pun boleh, atau nama lain pun boleh,” katanya.

Tambah Saifuddin, sekiranya wujud keperluan untuk menetapkan nama rasmi pada masa hadapan, perkara itu hanya akan diputuskan melalui perbincangan rasmi.

“Lepas ini, kalau kita hendak adakan nama yang rasmi, masa itu kita bincanglah secara rasmi,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifuddin menegaskan Hamzah tidak mempunyai niat lain di sebalik cadangan tersebut, sebaliknya mahu Parti Wawasan Negara (WN) memainkan peranan sebagai jambatan dalam memperkukuhkan kerjasama antara BN dan PN.

“DSH tak ada niat lain. Beliau cuma mahu WN memainkan peranan sebagai jambatan dalam memperkasa kerjasama BN-PN untuk mewujudkan gelombang biru bagi memenangi PRN Negeri Sembilan dan seterusnya PRU16,” katanya.

Baru-baru ini, UMNO menolak cadangan menamakan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai Perikatan Barisan Nasional (PBN), sambil menegaskan persefahaman yang diwujudkan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hanyalah kerjasama pilihan raya dan bukannya pembentukan sebuah gabungan politik baharu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share