
KUALA LUMPUR, 18 MEI 25 – Malaysia disaran mengambil langkah proaktif dalam berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap dolar Amerika Syarikat (AS) dalam perdagangan antarabangsa, sejajar dengan peranannya sebagai pengerusi Asean tahun ini, kata Gerakan.
Presidennya Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah itu perlu diteroka melalui penggunaan mata wang alternatif seperti ringgit, atau yuan sebagai usaha berperingkat menyesuaikan struktur ekonomi serantau dengan realiti geopolitik semasa.
Kebergantungan berterusan kepada dolar AS hanya akan menambah tekanan kepada ringgit yang kini menyusut ketara nilainya, sekali gus menjejaskan kestabilan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.
“Untuk menghentikan kebergantungan kepada dolar AS sepenuhnya memang tidak mudah, namun Malaysia perlu memimpin Asean dalam meneroka alternatif.
“Sidang Kemuncak Asean ke-46 pada 26 dan 27 Mei ini adalah platform terbaik untuk membincangkan pendekatan baharu ini,” katanya dalam satu kenyataan media, baru-baru ini.
Lau turut memetik data Persatuan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia menunjukkan penggunaan tua dalam pembayaran antarabangsa meningkat daripada hanya 1.7% pada 2018 kepada 4.33% pada Februari 2025, sekaligus menjadikannya sebagai mata wang keempat paling aktif di dunia ketika ini.
Malah, jumlah dagangan dua hala antara Asean dan China telah mencecah AS$982.3 bilion (RM4.22 trilion) pada tahun 2024, membuktikan potensi besar untuk memperluas penggunaan yuan secara lebih meluas dalam perdagangan serantau, katanya.
Cadangan menggantikan dolar AS dalam urusan perdagangan pernah dibangkitkan semula Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi perdana menteri kali ke-2 di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur pada 2019.
Ketika itu, Dr Mahathir mencadangkan agar negara-negara Islam mempertimbangkan penggunaan dinar emas dan sistem barter menggantikan mata wang Barat, termasuk dolar AS, yang dilihat tidak stabil dan mudah terkesan oleh krisis ekonomi global.
Jelasnya, hanya sistem kewangan yang berpaksikan emas mampu memberi ketahanan kepada negara membangun kerana nilainya lebih stabil berbanding dolar yang sentiasa berubah mengikut sentimen dan dasar negara pengeluar.
“Jika menggunakan dinar emas, kita bebas menamakan mata wang kita sendiri tetapi nilainya tetap bersandarkan emas. Ini memberi kita kuasa kawalan lebih baik dalam urus niaga perdagangan antarabangsa,” katanya, ketika itu. @politiko.my